BAB 11
“Maria…! Cepatlah…Makcik Timah
dengan Dila dah tunggu ni…kamu buat apa lagi dalam bilik tu…”
“Kejaplah mak… Maria nak pakai
tudung kejap ni…”
“Tu la…kalau aku kejut awal-awal tak
nak bangun… suka sangat di peram tidur tu, sekarang siapa yang susah?” bebel
Mak Munah.
“Okey mak! Dah siap dah…” Maria
tergopoh-gopoh berlari ke arah Mak Munahnya.
“Kamu ni kan Maria…eee…” keluh Mak Munah sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mak, jangan geleng sangat kepala tu
mak, nanti tercabut mak. Kalau mak nak geleng, mak sambung geleng dalam kereta
nanti ya mak? Kita dah lewat ni mak, kesian Makcik Timah dengan Dila dah lama
tunggu kat dalam kereta tu.” perli Maria pada Mak Munahnya dengan niat ingin
bergurau.
“Eh! Aku pulak yang kena!” kata Mak
Munah tidak puas hati. Maria sudah berlari menuju ke kereta manakala Mak Munah
menyusul dibelakang.
“Hai Dila…” sapa Maria lalu
mengambil tempat ditempat duduk penumpang depan disebelah Dila.
“Hai…kau buat apa yang lama sangat
kat dalam tu?” tanya Dila sebaik Maria duduk disebelahnya. Mak Munah yang baru
sampai laju menjawab.
“Buat apa lagi Dila oiii…kalau tak…”
belum sempat Mak Munah menjawab Maria sudah memotong.
“Mak, baik mak masuk kereta cepat
mak… kalau tak kena tinggal nanti mak. Tak gitu Makcik Timah?” tanya Maria pada
Makcik Timah yang dari tadi diam dibelakang.
“Kamu ni Maria…kalau tak usik mak
kamu tak sah! Ada je yang nak dikenakannya.” kata Makcik Timah sebaik soalan
Maria diajukan padanya.
“Maria ni memang Timah, sehari tak
kenakan aku memang tak sah. Kalau aku dapat sepuluh orang anak macam dia ni
mahu pengsan aku dibuatnya.”
“Rasanya kita dah boleh jalan kan
Dila?” tanya Maria pada Dila. Maria sengaja bertanya pada Dila kerana tidak
mahu mendengar apa yang dikatakan Mak Munahnya itu.
“Tu tak ada lain nak mengelaklah
tu!” perli Mak Munah pada Maria bila mendengar Maria mengajukan soalan pada
Dila.
“Eh! Mana ada mak…”
“Ya lah tu tak ada…”
“Iye…”
Maria cuba meyakinkan Mak Munah. Mak Munah yang malas melayan hanya mendengar
saja omongan kosong anaknya itu.
MAK
MUNAH berjalan dengan Makcik Timah, manakala Maria dengan Dila mengekori di belakang
bos-bos besarnya.
“Mak! Mak kata nak cari anak pokok
limau kasturi…” kata Maria pada Mak Munah.
“Memanglah mak nak cari, tapi mak
tak jumpa lagi orang yang jual anak pokok tu ha…”
“Tu..kat sana tu mak!” Maria
menunding jari kearah gerai yang dicari maknya itu.
“Mana?” tanya Mak Munah.
“Tu…” Maria menunding jarinya sekali
lagi. Sedang elok dia menunding untuk kali kedua, tiba-tiba dia ternampak
kelibat manusia yang amat dikenalinya, orang yang sama dijumpainya di tempat jogging semalam. Siapa lagi kalau bukan
bosnya Pasha Idham.
“Apa yang dia buat kat sini ya? Mana
aku pergi ada je dia…” omel Maria dalam hati. Tidak perasan yang Mak Munah
bertanya padanya. Mak Munah menepuk bahu Maria setelah panggilannya itu tidak
disahut Maria. Maria tersentak dengan tepukan itu.
“Kamu mengelamun ya Maria?” soal Mak
Munah pada Maria.
“Eh mana ada mak…”
“Kalau tak kenapa aku tanya kamu tak
jawab tadi?”
“Mak ada tanya Maria ke?” tanya
Maria kembali. Dia betul-betul tidak mendengar apa yang ditanyakan maknya.
“Aku tanya cakap tak mengelamun,
tapi apa yang aku tanya pun kamu tak dengar. Kalau tak mengelamun apa lagi
namanya tu?”
“Mintak maaflah mak…Maria tak
perasan. Mak tanya Maria apa tadi?” tanya Maria sebaik mengakui kesilapan diri.
“Tak apa lah…aku pun dah lupa apa
yang aku tanya tadi…” Mak Munah berjalan ke depan untuk ke gerai yang menjual
anak-anak pokok itu tadi. Maria dibelakang berjalan sedikit perlahan bimbang
takut Pasha Idham sedar keberadaannya disitu. Dila yang pelik melihat gelagat
Maria itu bertanya.
“Kau ni kenapa Maria? Lain macam je
aku tengok.” tanya Dila bila melihat Maria seakan berhati-hati bila berjalan.
“Kau tengok kat depan tu…” tunjuk
Maria pada gerai yang menjual buah-buahan. Dila melihat kearah gerai yang
ditunjukkan Maria.
“Kenapa dengan gerai tu?” tanya Dila
tidak faham.
“Kau tak perasan ke… kan Encik Pasha
ada kat sana tu…”
“Mana?” Dila masih tidak nampak.
“Tu… sebelah budak perempuan yang
pakai baju pink tu…” Dila cuba
mengamati apa diberitahu Maria.
“A’ah Encik Pasha lah…” kata Dila
sebaik melihat kelibat Pasha Idham digerai buah itu. “Apa yang dia buat disitu
ya?” tanya Dila. Boleh tahan lurus juga soalannya.
“Dah dia duduk kat gerai buah… dah
tentu-tentulah dia beli buah. Kau ni pun… lain kali kalau nak tanya soalan,
boleh tanya soalan yang bernas sikit tak?” perli Maria. Dila hanya menjuihkan
bibirnya. Maria pun dua kali lima je dengan Dila kalau tiba time lurusnya, sebab tu Dila menjuihkan
bibirnya sebaik kata-kata itu keluar dari mulut Maria.
“Eleh…time aku, time kau punya
soalan lurus kau tak ingat pulak ya?” perli Dila pada Maria pula. Maria hanya
tersengih mendengarnya. “Tapi kan…mana kau ada, pasti ada je bos kau ni kan?
Entah-entah kau dengan dia ada jodoh kot…” serkap Dila. Maria yang mendengarnya
menjeling ke arah Dila.
“Banyaklah kau punya jodoh…habis
Pasha aku tu aku nak letak mana?” soal Maria pada Dila. Dila yang mendengarnya
menggelengkan kepalanya.
“Kau ni tak habis-habis dengan Pasha
kau…Pasha kau tu dah kahwin tau tak…!” Dila cuba mengingatkan Maria.
“Tak kisahlah dah kahwin pun… janji
aku suka dia, dia suka aku. Tu dah cukup bagi aku.” jawab Maria yakin.
“Kau ni confident je bila jawab kan? Janji Pasha suka kau konon! Bila masa
Pasha kenal kau, kau bagitahu aku? Setahu aku kau je yang syok sorang-sorang
selama ni.”
“Aku tahulah…firasat aku kuat
mengatakan yang Pasha memang akan syok kat aku dan dia akan kenal aku.” kata
Maria dengan bangganya. Dila sudah sedia untuk membidas tapi dihalang oleh
Maria bila melihat Pasha Idham sudah hampir dengan mereka.
“Pusing belakang Dila, nanti bos aku
perasan…” suruh Maria. Serentak dengan itu Dia dan Dila berpusing membelakangi
Pasha Idham supaya Pasha Idham tidak perasan keberadaan mereka disitu. Maria
merasa sedikit lega bila Pasha Idham sudah melepasi mereka bersama dengan gadis
berbaju pink itu tadi.
“Fuhhh…nasib
baik dia tak nampak, kalau tak habis aku…” Maria melepaskan rasa leganya. “Tapi
siapa gadis yang berjalan dengan dia tu ya?” tanya Maria pada Dila.
“Kau tanya aku manalah aku tahu… entah-entah
awek dia kot…” jawab Dila sekadar meneka.
“Mudanya awek dia? Macam budak
sekolah je…”
“Biarlah budak sekolah pun… yang kau
susah-susah nak fikir buat apa? K e kau cemburu dengan bos kau?” usik Dila
sengaja ingin melihat aksi Maria.
“Tak kuasa aku nak cemburukan dia
lah…buang masa aku je…” jawab Maria lepas. Dila hanya mendengar omongan
kawannya itu. “Lamanya Mak Munah aku pilih anak pokok limau kasturi tu…dari
tadi tak siap lagi.” omel Maria bila melihat Mak Munahnya masih berada digerai
yang sama dari tadi.
“Biasalah tu… bila memilih mestilah
lama.” jawab Dila. “Apa kata kita pergi jalan-jalan kat depan sana tu, kita
tinggal je dulu mak kau dengan mak aku kat sini. Nanti kalau tak jumpa kita telefon
je lah. Kalau tunggu mereka siap memilih memang lambat ni.” Dila memberi
cadangan.
“Elok jugak tu, jomlah…” Maria
bersetuju dengan cadangan Dila. Mereka berdua terus berjalan-jalan meninjau
digerai-gerai yang masih banyak dihadapan. Mak Munah dan Makcik Timah mereka
tinggalkan di situ.
Setelah penat berjalan, mereka berdua
mengambil tempat dibawah pokok berhampiran untuk melepaskan rasa penat mereka.
Air tebu yang dibeli tadi diminum bagi menghilangkan rasa dahaga. Sedang Maria khusyuk
meminum air tebu ditangannya, tiba-tiba Maria terpandangkan sepasang mata yang
sedang memandang tepat kearahnya. Siapa lagi kalau bukan Pasha Idham bosnya.
Pasha Idham betul-betul berada bertentangan dengan pokok yang menjadi tempat dia
berteduh sekarang ini, manakala Pasha Idham berada di kereta yang diparking ditepi jalan. Tanpa senyuman
dibibir, Maria hanya mampu memandang kosong kearah Pasha Idham, mungkin
terkejut kot. Tadi bukan main mengelak, last
last jumpa juga.
Tidak mahu dilabelkan sebagai
sombong, akhirnya Maria tersenyum juga dan mengangkat tangan pada bosnya.
“Bos!” tegur Maria sambil mengangkat
tangan pada bosnya. Senyuman dibibir diukirkan sedikit supaya kelihatan lebih
manis. Pasha Idham yang mendengar teguran Maria kepadanya itu hanya memandang
kosong kearah Maria tanpa membalas sedikitpun teguran dan senyuman yang diberikan
Maria padanya itu. Maria yang menerima reaksi sebegitu dari bosnya itu jadi
malu.
“Cesss! Kurang asam punya bos! Boleh
dia buat tak tahu je. Kalau aku tahu aku tak tegur, buat malu je!” rungut Maria
dalam hati. Dila memandang kearah Maria setelah melihat reaksi yang diberikan
Pasha Idham.
“Apa kena dengan bos kau tu?
sombongnya...” komen Dila.
“Tak tahulah…datang bulan tak habis
lagi kot.” respon Maria pada komen yang diberikan Dila.
“Kau pun satu, dah tahu dia macam
tu, yang kau gatal-gatal pergi tegur dia tu kenapa?”
“Dia tu bos aku kot. Aku tak naklah
nanti dia kata aku sombong dengan dia pulak.”
“Tapi dia tak layan pun bila kau
tegur dia. Orang sombong macam tu, kau tak payah tegur pun tak apa.”
“Tak apalah…biarlah dia nak sombong
dengan aku, asal aku tak sombong dengan dia sudah.” jawab Maria tenang. Tenang
diluar, padahal dalam hati Maria mengutuk-ngutuk bosnya itu bila bosnya tidak
membalas tegurannya.
Pasha Idham masuk ke dalam kereta sebaik
adiknya Melly sampai dikereta apabila siap mencari barang yang terlupa ingin
dibelinya tadi. Melly yang tadi perasan ada seorang gadis yang menegur abangnya
itu tertanya-tanya siapakah gadis yang melambaikan tangan kearah abangnya itu.
“Siapa yang tegur abang tadi tu
abang?” soal Melly sebaik kereta yang dipandu abangnya itu bergerak.
“Siapa?” tanya Pasha Idham pura-pura
tidak tahu.
“Alaaa…yang
lambai-lambai kat abang tadi tu lah…yang panggil abang bos tu.”
“Ooo…tu PA abang…kenapa?”
“Cantik PA abang tu ya?” puji Melly,
Pasha Idham disebelah hanya diam tidak memberi apa-apa respon. “Tapi kenapa abang tak layan bila dia tegur
abang?” soal Melly lagi.
“Malas…” jawab Pasha Idham ringkas.
“Ada pulak macam tu abang ni… kalau
tak tegur macam mana abang bekerjasama dengan dia kat pejabat tu? Dah lah PA abang
pulak tu.”
“Melly tak payah nak sibuklah, tu
hal abang okey! Abang nak tegur ke, tak nak ke, tu abang punya pasal.”
“Abang kalau Melly cakap benda yang
betul macam tu lah… bukan nak dengar nasihat Melly ni.”
“Melly budak kecik lagi okey! Melly
tak tahu masalah orang dewasa ni. Jadi baik Melly diam je…”
“Hei!!! Tolong sikit ya! Melly dah
habis sekolah okey! Dah layak kahwin pun. Sedap-sedap je panggil orang budak
kecik.” protes Melly bila Pasha Idham memanggilnya budak kecik. Pasha Idham
tergelak bila melihat kemarahan adiknya itu.
“Hahahhahah….!”
“Yang abang ketawa pulak ni kenapa?”
“Tak ada apa-apa, saja nak
ketawa…tak boleh ke?”
“Ya lah tu…cepat bagitahu,
kenapa abang ketawa?” desak Melly bila tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberi. Pasha Idham diam tidak memberi apa-apa respon. Yang ada hanyalah sisa
ketawa yang masih berbaki. Melly jadi geram bila abangnya tidak menjawab
pertanyaannya, akhirnya yang mampu dia buat hanyalah turut sama diam.
Lagu
‘Percaya Padaku’ tiba-tiba kedengaran dari telefon bimbit Maria. Itu menandakan
ada panggilan masuk. Maria melihat siapakah gerangan nama pemanggil yang
terpapar di skrin telefon bimbitnya. Betul telahan Maria ‘Mak Munah ku sayang’
yang menelefonnya. Maria terus mengangkat telefonnya.
“Kamu kat mana ni Maria?” tanya Mak
Munah sebaik Maria mengangkat telefon.
“Mak kat mana ni?” giliran Maria
pula bertanyakan soalan yang sama pada Mak Munahnya.
“Mak dengan Makcik Timah kamu ni dah
berpeluh tunggu kamu kat kereta ni. Kamu dengan Dila ada kat mana tu?” soal Mak
Munah pada Maria.
“Ya ke mak? Maria dengan Dila ada
kat bawah pokok ni. Mak tunggu dekat situ ya, kejap lagi Maria dengan Dila
sampai.”
“Baiklah…cepat sikit tu, Mak dah tak
larat dah tunggu kamu kat sini ni.”
“Ya…Maria datang sekarang…” jawab
Maria dan terus meletakkan telefon.
“Mereka dah siap shopping ke?” soal Dila sebaik Maria
menamatkan perbualannya.
“Dah… mereka dah ada kat kereta pun.
Jomlah, nanti membebel pulak Mak Munah aku tu kalau kita lambat.” beritahu
Maria pada Dila.
“Kalau macam tu jomlah kita…” ajak
Dila setuju. Mereka berdua terus menuju ke tempat yang kereta Dila parking tadi.
Dari jauh Maria sudah nampak Mak
Munahnya dan Makcik Timah sudah menunggu mereka berdua di kereta sambil
mengibas-ngibaskan tangannya.
“Panas ke mak?” tanya Maria sebaik
sampai ditempat Mak Munahnya menunggu.
“Boleh kamu tanya panas ke mak? Kamu
rasa sejuk ke yang kamu boleh tanya aku macam tu?” perli Mak Munah. Maria tersengih.
“Panas mak…” jawab Maria sepatah.
“Habis tu, nak tanya lagi!”
“Alaaa
mak ni…orang tanya je… tu pun nak marah..” kata Maria seakan merajuk, tapi
macam tak berapa jadi nak merajuk. Tahu-tahu je lah Mak Munahnya macam mana
kan…
“Lain kali tanya soalan tu biar betul
sikit… dah nampak aku ni panas, yang kamu tanya pasal panas lagi tu kenapa?”
“Prihatin mak…hehhehe” jawab Maria
sambil tersengih.
“Banyaklah kamu punya prihatin… Dila
cepatlah bukak kereta ni, Mak Munah dah tak tahan ni.” suruh Mak Munah bila
dilihat Dila masih tercegat disebelah Maria.
“A’ah Dila, cepatlah buka pintu tu.
Mak pun dah nak pengsan dah rasanya ni.” giliran Makcik Timah pula bersuara.
Dila cepat-cepat menekan butang unlock pada
kunci keretanya bimbang kalau-kalau maknya betul-betul pengsan.
Semua
barang dimasukkan ke dalam kereta. Setelah selesai semuanya, mereka berempat pulang
kerumah.
DI
RUMAH Maria bertanyakan pada Mak Munahnya kenapa maknya itu membeli anak pokok
limau kasturi itu. Setahunya pokok limau kasturi dah ada kat belakang rumahnya,
kalau mereka berdua nak makan lebih dari cukup dah rasanya. Bila makan nasi
dengan budu, Maria dengan Mak Munah memang suka perah limau kasturi tu dalam
budu, sebagai penyedap katanya. Kalau tak perah dalam budu sekalipun, limau kasturi
tu juga Mak Munah gunakan untuk dibuat air, memang segar rasanya bila diminum
air limau kasturi ais kalau time
dahaga ni. Air limau kasturi memang salah satu air yang paing best jika untuk menghilangkan rasa
dahaga. Memang terasa nikmatnya.
“Mak… mak nak buat apa dengan anak
pokok limau kasturi ni mak?”
“Nak buang…” jawab Mak Munah lepas.
“Mak ni… orang tanya betul-betul ni
mak jawab main-main pulak…”
“Kamu dah tengok dah mak beli anak
pokok ni kan? Dah tentu-tentulah mak nak tanam.”
“Tapi mak, pokok limau kasturi kan
dah ada kat belakang rumah kita.”
“Tu lah kamu, kalau aku kata kamu
malas kamu marah, sampai pokok limau kasturi dah mati pun kamu tak sedar.”
“Ya ke mak? Habis tu selama ni kita
makan ada je buahnya.”
“Tu aku beli! Bukan ambik kat pokok
tu. Lain kali keluar rumah sikit Maria tengok keadaan sekeliling tu. Ni tak…
asyik terperap dalam bilik je melayan Pasha dia tu. Sampai pokok favourite kamu tu mati pun kamu boleh
tak sedar. Maria…Maria…”
“Manalah Maria nak tahu pokok tu dah
mati mak…”
“Sebab tu aku suruh kamu keluar
rumah, tengok sikit keadaan sekeliling tu… ni tak, asyik terperap je dalam
bilik.”
“Pembetulan mak… mana ada Maria
terperap dalam bilik, Maria kerjalah mak. Sebab tu Maria tak sedar pokok limau
kasturi tu dah mati.”
“Cik Maria… untuk pengetahuan Cik
Maria, pokok limau kasturi tu dah lama mati tau! Sebelum Cik Maria dapat kerja
lagi.”
“Laa… ya ke? Hehhehhe…Maria tak
perasanlah mak.” kata Maria tersengih bila sedar kesilapan sendiri.
“Macam mana nak perasan, kalau asyik
terperap je kerjanya…” perli Mak Munah lagi.
“Okey mak, biar Maria je yang tanam pokok limau kasturi ni ya
mak…” Maria seakan ingin mengambil hati Mak Munahnya. Nak berbaik-baiklah tu
konon, tapi apa yang Maria dapat dari Mak Munahnya?
“Tak payahlah Maria, terima kasih aje
lah… kalau kamu yang tanam entah hidup entah tidak pokok ni. Entah-entah esok
pokok ni terus mati. Tak apa lah… biar mak je lah yang tanam, kamu tengok je ya…” perli Mak Munah sekali lagi.
Maria menjuihkan bibirnya.
“Mak ni… orang nak tolong cakap
macam tu pulak…ni yang Maria malas nak tolong ni.” suara Maria sedikit tidak
puas hati. Bibirnya dijuihkan sebagai tanda protes.
“Tak payah nak juihkan sangatlah
bibir tu, mak tarik bibir tu tanam sekali dengan pokok ni baru kamu tahu!” ugut
Mak Munah. “Daripada kamu sibuk duk juihkan bibir kamu tu kat sini, baik kamu
masuk dalam, tolong mak basuh pinggan kat sinki tu lagi bagus!” tambah Mak
Munah lagi. Malas untuk memanjangkan cerita, Maria terus masuk ke dalam
melaksanakan tugas yang baru disuruh Mak Munahnya itu.
Selesai membasuh pinggan dan selesai
memasak semuanya, Maria mengambil keputusan untuk tidur sekejap selepas dia
selesai menunaikan solat zohor. Maria betul-betul terasa amat letih dan
mengantuk, mungkin disebabkan tiap-tiap hari kena bangun pagi kot sebab tu dia
jadi macam tu. Maklumlah sebelum ni kalau tak kerja asyik terlajak lebih je
tidurnya, tapi kali ni kalau waktu cuti pun susah untuk dia melebih-lebihkan
tidurnya, mesti ada je aktivitinya. Mak Munah yang melihat Maria yang sudah
bersiap-siap untuk tidur tidak bising seperti selalunya. Memanglah tak bising
sebab Maria dah siapkan semuanya, kalau tak bising jugak tu…hehhehe. Satu lagi
kesian pula Mak Munah lihat Maria yang letih begitu, jadi hari ni tak apa lah, dia
bagi cannn kat Maria rehat
sepuas-puasnya.
“ABANG
kamu mana Melly?” tanya Datin Dian pada anak perempuannya bila anak lelakinya
Pasha Idham tidak kelihatan.
“Entah ma, tidur kot.” jawab Melly.
“Letih sangat teman Melly tadi kot…” tambah Melly, sambil tangannya laju
mencicah asam dengan mempelam putik yang dibelinya di pasar tani pagi tadi.
“Kamu ni… kalau makan asamnya boleh
kalah orang mengandung ya? Lebih-lebih mengidamnya.” kata Datin Dian bila melihat
Melly terlalu khusyuk dengan asamnya. Dia sendiri tidak faham selera anak
perempuannya ini, mempelam tu dah lah masam kemudian dicicah pulak dengan asam
yang masin tu lagilah teserlah masam mempelam tu. Lainlah kalau mempelam tu
dicicah dengan gula, boleh diseimbangkan lagilah rasa masam tu, ni tak masam digabung
dengan masin, memang tak kenalah kalau dengan seleranya.
“Mama ni…best apa ma? Mama tak nak cuba ke?” pelawa Melly walaupun dia sudah
tahu jawapan dari mamanya.
“Enggak
mahulah mama, mahu perit rasa mulut mama nanti.”
“Perit sikit je ma, trylah dulu ma. Kalau tak cuba tak
tahu…” pelawa Melly sekali lagi.
“Enggak
mahu…” Datin Dian tetap dengan keputusannya. Kali ni siap di geleng-gelengkan
lagi kepalanya tanda menolak pelawaan anaknya itu.
“Jangan menyesal nanti ma…”
“Enggak…mama
enggak akan menyesal…” jawab Datin
Dian yakin.
“Yakin?”
“Iya…mama yakin…”
“Kalau macam tu tak apa lah… selamat
mempelam dengan asam Melly ni.” kata Melly dalam nada bergurau.
“Ooo…kalau macam tu kamu ajak-ajak
ayam je lah tadi ya?” kata Datin Dian, kali ni dalam loghat melayu Malaysia.
Itulah Datin Dian, sekali keluar bahasa baku Malaysia dan sesekali akan keluar
juga loghat Indonesianya. Maklumlah orang banyak Negaralah katakan, jadi akan
keluarlah semua bahasanya. Tapi itu bagus, sekurang-kurangnya dia dapat pelajari
banyak bahasa, bukan sahaja dia tetapi seluruh ahli keluarganya.
“Tak ada lah ma, Melly gurau je tu.
Tadi memang Melly ajak betul-betul pun… tapi dah mama tak nak, selamatlah asam
Melly.” kata Melly sambil tersenyum. Datin Dian hanya mampu menggelengkan
kepalanya.
Melly
kalau dengan asam memang tidak dapat dipisahkan, sejak dari kecik lagi dia
memang suka makan asam. Datin Dian pun hairan dengan selera anaknya itu, tak
makan nasi tak apa kalau dah mengadap asam tu. Datin Dian bukan apa, ada juga
rasa bimbang di hati Datin Dian bila anaknya itu terlampau taksub dengan asam,
takut beri kesan pada perutnya pulak nanti. Asam tu kan tajam, berasid pulak
tu… kalau tak dikawal pemakanan tu, itu semua boleh jadi gastrik nanti. Masa ni
memang tak kena lagi, tapi bila dah kena susah nanti.
Makan asam tu tak salah, tapi biar seimbang dengan apa yang kita
makan. Jangan bila dah makan asam, sampai nasi pulak tak makan. Itu menempah
bahaya namanya. Datin Dian dah puas menasihati anaknya itu, namun tabiat itu
memang susah untuk ditinggalkan oleh Melly. Datin Dian pun risau melihat selera
pelik anaknya itu, asam tu boleh dikatakan dah jadi makanan wajib Melly,
tertukar pulak dengan kita. Kita nasi yang utama, asam tu bila rasa nak makan
je barulah makan, kalau tak tak adalah nak makan.
SELEPAS
solat isyak Maria bersantai-santai sendirian memikirkan apa yang tidak kena
pada dirinya sementara menunggu masa untuk tidur. Maria dapat merasakan sedikit
debaran di dadanya, debaran yang dirasakan sama seperti debaran semasa dia
hendak bertemu bosnya pada waktu pertama kali dulu. Maria sendiri tidak faham
kenapa dia jadi begitu, mungkin bimbang dengan kejadian sewaktu jogging hari tu kot? Tak pun perkara
lain? Maria sendiri kurang pasti dengan apa yang dirasakannya sekarang ini.
“Kenapa aku rasa berdebar sangat
malam ni nih…lain macam je aku rasa. Ada perkara buruk nak berlaku ke ni?”
tanya Maria pada diri sendiri. Matanya melilau-lilau memerhatikan keadaan
disekeliling biliknya.
“Dari aku memikirkan perkara yang
aku sendiri tidak pasti ni, baik aku tidur lagi bagus!” Maria seakan memujuk
dirinya untuk tidur. Tapi baru saja dia ingin meletakkan kepalanya ke bantal,
tiba-tiba dia terdengar Mak Munahnya memanggil.
“Maria…oh… Maria.”
“Ya mak…Maria kat dalam bilik ni…”
Maria menyahut panggilan Mak Munahnya.
“Mari dekat mak sekejap, tolong mak
masukkan benang dalam jarum ni ha…”
“Masukkan benang dalam jarum lagi… aiii
Mak Munah aku ni, sejak akhir-akhir ni rajin benar menjahit ya…” rungut Maria
sendiri. Dia kemudian bangun dari katil untuk melaksanakan tugasan yang baru di
suruh oleh Mak Munahnya.
“Mak nak jahit apa lagi ni mak?
Malam semalam bukan mak dah jahit ke mak?” tanya Maria sebaik mencapai jarum
dan benang dari tangan Mak Munahnya.
“Malam tu mak jahit benda lain, ni
mak nak jahit benda lain pulak…”
“Mak nak jahit apa mak?” soal Maria.
“Ni…mak nak jahit sampul bantal ni,
dah koyak… yang kamu ni awal-awal dah bekurung dalam bilik kenapa?” tanya Mak
Munah hairan.
“Mak ni…Maria masuk bilik awal sebab
Maria nak tidur awal la…nanti bila tidur lewat mak marah pulak…”
“Tak ada la…biasa kamu tengok lah
jugak TV tu sekejap sebelum tidur. Ni tak, dari maghrib tadi masuk bilik sampai
ke isyak tak keluar-keluar. Kalau mak tak panggil ni rasanya kamu dah tak
keluar kot.”
“Letihlah mak… lagipun Maria takut
lewat ke pejabat macam hari tu pulak. Cukuplah sekali Maria kena bantai dengan
bos Maria mak, Maria tak nak rasa untuk kali kedua.” beritahu Maria pada Mak
Munahnya.
“Garang sangat ke bos kamu tu?
Sampai bantai kamu? Mak tengok kamu okey je, tak ada pun lebam-lebamnya. Elok je
lagi berjalan tu mak tengok. Kamu ni biar betul Maria? Ke saja kamu reka-reka
cerita.” Mak Munah seakan tidak percaya apa yang diomongkan Maria.
“Betul mak… buat apa Maria nak reka
cerita. Mak tengok fizikal Maria memanglah tak cedera mak, tapi hati Maria ni
yang cedera mak. Kalau mak dengar kata-kata yang keluar dari mulut bos Maria tu
mak…mahu menanah telinga mak tu, hati ni pedih je rasa. Maria yang kena, Maria
tahulah mak macam mana rasa.” cerita Maria bersungguh.
“Baguslah tu, sekurang-kurangnya
kamu ada jugak rasa takut. Mak sokong seratus peratus apa yang bos kamu buat
tu! Kalau dia nak dera kamu lebih lagi pun mak izinkan.” jawab Mak Munah lepas.
Maria yang mendengarnya sedikit tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan
maknya itu.
“Ai mak! Bela orang lain nampak!
Maria ni anak mak kot…mak kena sokong Maria mak… mak tak boleh belot dengan
Maria.” suara Maria.
“Kamu ingat mak pergi berperang nak
belot-belot dengan kamu? Baguslah tu apa yang bos kamu buat tu. Sekurang-kurangnya
ada sikit disiplin dalam diri kamu tu.”
“Tapi mak…” belum sempat Maria
menghabiskan ayatnya Mak Munah sudah memotong.
“Tak payah tapi-tapi lagi! Ikut je
apa yang bos kamu kata tu kalau tak nak kena marah!” Mak Munah menambah. Maria
disebelah hanya diam. “Benang mak tu macam mana? Dah siap belum?” tanya Mak
Munah bila dilihat Maria diam.
“Dah… ni benang mak ni…” hulur Maria
pada Mak Munah benang yang telah dia masukkan kejarum. “Maria masuk bilik
dululah mak…” Maria meminta diri dengan suara yang sedikit mendatar.
“Merajuklah tu…” tegur Mak Munah.
“Mana ada merajuk mak…”
“Kalau tak merajuk kenapa suara
macam tu? Tengok muka tu, dah lain macam dah…” kata Mak Munah masih tidak
percaya yang anaknya itu tidak merejuk dengannya.
Maria
dengan muka seperti dalam keadaan tertekan terpaksa memberitahu perkara
sebenarnya pada Mak Munah.“Maria sebenarnya nak terkentut ni mak… kan Maria
kentut dekat sini, mak marah pulak.” kata Maria selamba. Mak Munah yang
mendengarnya terus memberi reaksi.
“Cesss!
Kurang asam punya anak, mati-mati aku ingat kamu merajuk tadi.” kata Mak Munah
menyesal. Maria yang mendengarnya terus ketawa.
“Hahahahahah!!! Nasiblah mak…kalau
mak nak rasa bau best ni boleh je mak?
Maria boleh melepas kat sini je.” kata Maria yang masih lagi menahan kentutnya.
“Dah! Tak payah mengada! Baik kamu
pergi cepat! Dah biru dah muka kamu tu aku tengok. Nanti kalau melepas dekat
sini dengan muka-muka aku jadi biru nanti. Dah! Pergi cepat!” halau Mak Munah.
Maria yang mendengar suara lantang Mak Munahnya itu hanya mampu ketawa. Kelakar
pula bila difikirkan kalau muka Mak Munahnya itu betul-betul bertukar menjadi warna
biru akibat terhidu gas beracunnya itu. Mahu memakan masa yang lama untuk
hilang warna biru tu. Hahhaha…Mak Munah…Mak Munah…
Dalam bilik Maria masih lagi dengan
ketawanya.
“Mak…mak…adoiii…lawak betul lah!
Boleh dia ingat aku nak merajuk, padahal aku ni sakit perut… kalau aku melepas
kat situ tadi, lagi kecoh rasanya rumah ni. Hahhaha…” ketawa Maria sendiri.
Maria kalau dengan Mak Munahnya memang susah sikit kalau nak merajuk, sebab dia
tahu mulut Mak Munahnya macam mana. Kalau nak merajuk confirm tak jadinya, kena hentam teruk lagi ada lah dengan Mak
Munahnya. Jadi baik tak payah merajuk, lagi senang kerjanya
Dalam
Maria duduk sibuk dengan ketawanya, tiba-tiba terdengar suara Mak Munah
memerlinya.
“Dah
dah lah ketawa tu Maria oi…tercabut anak tekak tu baru kamu tahu! Bukan main
sakan lagi kamu ketawakan aku ya!” suara Mak Munah menyindir. Maria yang
mendengar perlian Mak Munahnya itu makin kuat ketawa, bukannya nak berhenti. Makin
kuat ketawa lagi ada la.
“Ai!
Makin kuat kamu ketawakan aku ya! Jangan sampai aku pulak yang lepas bom aku
kat dalam bilik kamu nanti dahlah!” ugut Mak Munah, geram dengan reaksi yang
diberikan anaknya itu.
“Okey
mak! Maria berhenti!” kata Maria mengalah. Sisa ketawa masih lagi ada pada
dirinya tapi dalam keadaan yang terkawal. Bukan apa, bimbang juga kalau Mak
Munahnya itu melepaskan bomnya dalam biliknya, sebab dia tahu, bom Mak Munah
lagi dahsyat baunya jika nak dibandingkan dengan bom yang dihasilkan olehnya. Jadi
untuk langkah selamat baik dia mengalah saja. Dua beranak memang sama
perangainya…gila-gila…hahhaha.
Mak
Munah yang tidak mendengar lagi suara tawa Maria merasa puas hati dan terus
masuk ke dalam biliknya. Maria yang tadi galak ketawa terasa mengantuk pula,
mungkin penat ketawa kot. Tanpa membuang masa, Maria menutup suis lampu biliknya
dan kemudian menarik selimut bagi
menyelimuti dirinya.
best.
ReplyDelete