Followers

Thursday, 13 June 2013

NOVEL : PASHA! I L U (9)

BAB 9

SUASANA di rumah Mak Munah pagi itu riuh rendah dengan suara Maria yang bising kerana terlewat bangun untuk pergi kerja. Mak Munah yang turut berada di dalam situasi itu menambah lagi kebisingan yang sedia ada yang diciptakan Maria itu apabila anaknya itu menyalahkannya kerana tidak mengejutkan dia dari tidur.
“Mak…Maria dah lewat ni mak…kenapa mak tak kejutkan Maria mak.” kata Maria yang tergopoh-gapah berlari ke bilik mandi setelah tersedar yang jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi.
“Banyak cantik muka kamu kata aku tak kejut! Siapa suruh kamu tidur balik tadi lepas solat subuh tu? Tulah…tengok lagi Pasha tu, pukul berapa kamu tidur pun aku tak tahulah! Bila dah lewat macam ni baru kamu tahu! Aku cakap kamu tak nak dengar…sekarang rasakan…baru padan dengan muka kamu.” leter Mak Munah panjang. Terdengar jirusan air yang laju dari dalam bilik air, sah Maria mandi kerbau pagi ni.
Tidak lama kemudian Maria keluar dari bilik air dengan keadaan yang sama macam tadi, masih tergopoh gapah.
“Aik! Cepatnya kamu mandi? Kamu mandi ke tak ni?” tanya Mak Munah hairan. Biasanya Maria kalau dah masuk bilik air memang lama, tapi tidak untuk pagi ni… tak sampai supuluh minit dah keluar.
“Mandilah mak…mak ni…” rungut Maria.
“Entah ya entah tidak mandi tu. Tu la…aku cakap tak nak dengar, sekarang rasakan.” Sempat lagi Mak Munah menyindir.
“Habislah Maria kali ni mak…habislah Maria kena bantai dengan bos Maria hari ni…” suara Maria bimbang. Maria cepat-cepat menyarungkan baju kurung ke badannya. Mak Munah menggelengkan kepalanya bila melihat keadaan kelam kabut anaknya itu.
“Alamak! tudung tak gosok lagi…” Maria menepuk dahinya. “Macam mana ni…nak gosok dah lewat.” Maria berfikir sendiri. “Pakai aje lah…berkedut pun berkedut lah…tawakal je lah hari ni Maria.” Maria mencapai tudung bawal yang berkedut itu lalu di pakainya.
“Pakai jelah Maria apa yang ada, kalau kena nanti kamu redha jelah. Siapa suruh kamu tak gosok tudung tu awal-awal. Sekarang dah jadi macam ni, baru kamu tahu.” bebel Mak Munah lagi. Maria hanya mampu menadah telinga mendengar bebelan Mak Munah itu.
Tepat pukul 8.40 pagi Maria siap lengkap berpakaian semuanya dan sudah bersedia untuk ke tempat kerja. Nak tak nak memang dia akan kena dengan bosnya itu hari ni. Apa yang akan jadi hari ni Maria kena redha dan berserah je la.
“Maria pergi dulu mak.” beritahu Maria sambil menyalami tangan Mak Munah meminta izin dari Mak Munahnya untuk ke tempat kerja.
“Kamu tak nak sarapan dulu ke?”
“Tak payahlah mak…Maria dah lewat ni.” kata Maria sambil mencapai topi keledar di atas meja.
“Hati-hati bawak motor tu. Jangan laju-laju sangat.” pesan Mak Munah sebaik Maria berada di atas motosikalnya.
“Baiklah mak…Maria pergi dulu…” kata Maria yang menghidupkan enjin motosikal dan kemudian terus bergerak ke tempat kerja.


MASUK kali ni dah tiga kali Pasha Idham keluar dari biliknya untuk bertanyakan tentang Maria pada pekerja-pekerjanya.
            “Maria tak sampai lagi ke?” tanya Pasha Idham.
            “Tak lagi Encik Pasha.” jawab Kak Zura. Jam sudah menunjukkan pukul 8.55 pagi, namun kelibat Maria masih belum kelihatan di pejabat. Kak Zura sedikit risau jadinya. Bimbang takut sesuatu terjadi pada Maria, sebab sebelum ini biasanya Marialah orang yang paling awal sampai ke pejabat. Tapi tidak untuk hari ni, dah dekat pukul 9 pagi, Maria masih belum sampai-sampai juga.
            “Kemana si Maria ni ya? Telefon tak berangkat…Maria ni memang nak kena ni.” rungut Pasha Idham seorang diri. “Zura… Nanti Maria sampai, suruh dia masuk terus dalam bilik saya.” pesan Pasha Idham untuk yang ketiga kalinya.
            “Baik Encik Pasha…nanti saya bagitahu Maria.” jawab Kak Zura. Sudah malas sebenarnya dia nak menjawab pesanan Pasha Idham itu kerana pesanan yang diberikan Pasha Idham adalah pesanan yang sama dari awal dia sampai pejabat tadi. Tapi nak tak nak terpaksa juga dia menjawab. Maklumlah boslah katakan, kalau tak jawab kena pulak dia nanti. Nak-nak dapat bos macam si Pasha Idham ni lagilah kena jawab, kalau tak jawab memang nak kenalah jawabnya.
            Tepat pukul 9.03 pagi Maria sampai di pejabat. Keadaan Maria hari ni memang lain dari biasa. Mahunya tak lain, tengok tudungnya saja dah la… dengan tudung tak bergosok, dah lah tak bergosok senget pulak tu. Kak Zura, Aina dan Azlan yang melihat keadaan Maria itu sedikit terkejut.
            “Apa dah jadi dengan kamu hari ni Maria? Kenapa lambat sampai?” tanya Kak Zura.
            “Saya terlewat bangunlah kak…” jawab Maria dalam keadaan termengah-mengah. “Encik Pasha mana kak?” tanya Maria pada Kak Zura pula.
            “Encik Pasha kat dalam la, dia pesan suruh kamu masuk dalam bilik dia bila kamu dah sampai.”
            “Habislah saya kali ni kak…” suara Maria risau.
            “Nak buat macam mana Maria, dah kamu yang cari penyakit. Nak tak nak kamu kena redah jelah nanti. Baik kamu masuk cepat, kalau tak lagi teruk kamu kena nanti.”
            “Baiklah kak…” kata Maria yang sudah melangkah ke bilik Pasha Idham. Namun terpaksa dihentikan bila mendengar panggilan dari Kak Zura.
            “Maria!”
            “Ada apa kak?”
            “Kenapa dengan tudung kamu tu?” tanya Kak Zura, Maria yang mendengar soalan itu tersengih.
            “Tak sempat nak gosok kak.” jawab Maria, Kak Zura menggelengkan kepalanya.
            “Kot ya tak sempat nak gosok, takkanlah pakai pun kena senget. Baiki sikit keronsang kamu tu, dah senget nak sampai ke telinga dah tu…” tegur Kak Zura.
            “Ya ke kak?” tanya Maria seperti tidak percaya, lalu dirasa keronsangnya, memang betul kata Kak Zura memang betul-betul senget. Maria cepat-cepat membetulkannya. “ Terima kasih kak.” ucap Maria pada Kak Zura.
            “Sama-sama…dahlah cepatlah masuk!” suruh Kak Zura.
            “Baik kak…” Maria terus menuju ke bilik Pasha Idham.
            “Masuk!” laung Pasha Idham dari dalam. Maria dengan rasa sedikit gementar harus memberanikan dirinya masuk bertemu dengan bosnya Encik Pasha Idham pagi ini.
“Haa…datang pun kamu Maria…saya ingatkan dah tak datang.” perli Pasha Idham sebaik melihat Maria.
            “Datang Encik Pasha…cuma lewat sikit je…”
            “Lewat sikit awak cakap! Awak tengok jam tu dah pukul berapa?” suara Pasha Idham sedikit tinggi, Maria melihat jam ditangannya.
            “Pukul 9.07 minit pagi Encik Pasha.”
            “Sikit ke banyak awak lewat tu? Kalau pukul 9 lebih baru sampai!”
            “Banyak Encik Pasha…” jawab Maria perlahan.
            “Awak tahu tak sebenarnya waktu bekerja untuk pejabat ni?”
            “Tahu Encik Pasha…”
            “Habis tu kenapa pukul 9 pagi baru nak sampai?”
            “Maaf Encik Pasha, saya terlewat bangun…sebab tu saya lewat pagi ni.”
            “Kamu baca tak peraturan yang saya bagi tu?” soal Pasha Idham lagi.
            “Baca Encik Pasha…”
            “Habis tu kalau lewat tak reti-reti nak telefon? Tak pandai nak ikut peraturan tu?”
            “Nak cepat sangat Encik Pasha, saya terlupa nak telefon.”
“Dahlah tak telefon! Orang telefon pun tak angkat! Awak campak mana telefon awak tu?”
“Saya terlupa bawak telefon Encik Pasha, sampai sini tadi baru saya perasan telefon saya tak ada.” jawab Maria jujur, dia memang betul-betul terlupa membawa telefon bimbitnya itu bila dalam keadaanya yang kelam kabut begitu.
Eeeee…apa nak jadilah dengan awak ni Maria, dah lah lewat datang office, telefon saya pun tak! Bila orang telefon pun tak berangkat. Saya tak tahu dah nak cakap apa lagi kat awak ni, dengan tudungnya berkedut, awak tak gosok tudung ke Maria?”
“Tak Encik Pasha…tak sempat.”
“Awak tahukan saya memang tak suka kalau pekerja saya berserabai macam ni kan?”
“Tahu Encik Pasha…”
“Habis tu?”
“Maaf Encik Pasha, saya betul-betul tak sempat tadi sebab terlalu mengejar masa takut lambat sampai pejabat.”
“Awak bangun pukul berapa pagi tadi?”
“Pukul 8.15 pagi.”
“Pukul 8.30 masuk pejabat, pukul 8.15 baru awak bangun? Awak ni biar betul! Awak tidur pukul berapa malam tadi?”
“Pukul 3.30 pagi Encik Pasha.”
“Pukul 3.30 pagi??? Awak buat apa malam tadi sampai lewat macam tu sekali tidur!” tanya Pasha Idham terkejut. Maria serba salah untuk memberitahu, malu sebenarnya kalau Pasha Idham tahu apa yang dibuatnya malam tadi. “Saya tanya awak ni! awak buat apa malam tadi?” tanya Pasha Idham sekali lagi bila Maria tidak menjawab pertanyaannya.
“Saya…saya…saya…”
“Saya apa!” sergah Pasha Idham.
“Saya tengok bakal suami saya!” jawab Maria laju kerana terkejut.
“Hah?!” Pasha Idham mengerutkan dahinya. “Apa awak cakap?” tanya Pasha Idham lagi musykil dengan jawapan yang diberi oleh Maria.
Maria menepuk-nepuk mulutnya. “Kenapalah kau jawab macam tu mulut oiii…tak pasal-pasal Encik Pasha dah curiga dengan jawapan aku.” marah Maria pada dirinya sendiri, tapi hanya mampu diluahkan dalam hati.
“Yang awak tepuk mulut awak tu kenapa? Saya tanya ni, apa maksud yang awak cakap tadi tu?” Pasha Idham masih lagi tidak puas hati.
“Tak ada apa Encik Pasha, Encik Pasha abaikan je la apa yang saya cakapkan tadi tu ya?” Maria cuba memujuk.
“Banyak cantik muka awak suruh saya abaikan, awak ingat senang saya nak lepaskan macam tu saja? Baik awak cakap pada saya, apa maksud awak tadi tengok bakal suami awak tu?” Maria masih berkira-kira untuk menjawab. Malu sebenarnya kalau Encik Pasha Idham tahu yang bakal suami yang dimaksudkannya itu Pasha ungu, mesti kawww kawww kena gelak nanti. Maria masih belum lagi memberi jawapan manakala Pasha Idham sedang menunggu jawapan dari Maria.
Belum sempat Maria memberikan jawapannya pada Pasha Idham, tiba-tiba pintu bilik Pasha Idham dibuka dari luar. Alhamdulillah…itu saja yang mampu digambarkan perasaan Maria ketika ini apabila melihat Datuk Aziz masuk ke dalam bilik Pasha Idham.
“Ada apa ni? tegang je muka papa tengok.” tegur Datuk Aziz sebaik berada di hadapan Pasha Idham.
“Papa tanyalah Maria ni pa, apa yang dia dah buat hari ni.” Datuk Aziz mengarahkan pandangannya pada Maria.
“Apa yang kamu dah buat Maria?” tanya Datuk Aziz pada Maria yang berada disebelahnya.
“Saya terlewat bangun hari ni datuk…jadi saya lewat sampai kat pejabat ni.”
“Pukul berapa kamu sampai?”
“Lebih kurang pukul 9 pagi datuk.”
“Pukul 9 pagi??? Setengah jam tu kamu lewat Maria…”
“Ya saya tahu datuk…tapi saya betul-betul tak sengaja datuk, ni kali pertama saya lewat datuk. Sebelum ni sebelum pukul 8 saya dah sampai datuk.” kata Maria cuba meraih simpati dari Datuk Aziz.
“Maria…Maria… tak apa lah, disebabkan ini kali pertama awak lewat saya maafkan. Lagi pun sebelum ni sebelum pukul 8 awak dah sampai kan?” tanya Datuk Aziz pada Maria, Maria cepat-cepat mengangguk. “Kalau macam tu awak boleh keluar sekarang, tapi lain kali jangan buat lagi!” Datuk Aziz cuba mengingatkan Maria supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Maria yang mendengarnya cepat-cepat mengangguk. Terasa kelegaan dalam hati kerana bakal terlepas dari pertanyaan panas Pasha Idham.
“Terima kasih datuk…saya janji saya takkan lewat lagi.” janji Maria. Datuk Aziz hanya mengangguk. Maria terus bangun meninggalkan Pasha Idham dan Datuk Aziz berdua di dalam.
Sebaik Maria beredar, Pasha Idham menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap keputusan yang di buat papanya itu.
“Apa ni papa… mana boleh papa lepaskan Maria macam tu aje. Naik lemaklah dia nanti papa…”
“Tak apa lah…lagipun ni kali pertama dia datang lewat kan?”
“Papa…kali pertama ni lah kita kena bertegas sikit papa, kalau tak besar kepala nanti dia papa.” suara Pasha Idham yang masih tidak puas hati dengan keputusan papanya itu.
“Dahlah tu…tak payah nak fikir sangatlah pasal tu. Apa susah, kalau dia buat perkara yang sama lagi kamu hukum je lah nanti. Kalau kamu nak buang pun papa tak kisah.” kata Datuk Aziz yang cuba menenangkan anaknya. Pasha Idham didepan yang masih tidak puas hati hanya diam mendengar kata-kata papanya itu.
“Tak apa Maria…nasib kau baik kali ni sebab papa aku ada, tapi kau jangan ingat senang-senang aku akan lepaskan kau! Aku akan tuntut juga jawapan yang tergantung tadi tu. Nanti kau Maria.” janji Pasha Idham dalam hati.
Pasha Idham berhenti seketika dari memikirkan pasal Maria bila Datuk Aziz menyatakan tujuan sebenar dia datang bertemu dengannya. Dia memberikan tumpuan penuh kepada apa yang ingin diperkatakan papanya mengenai projek yang akan diuruskan olehnya itu.
 Kekhusyukan dirinya yang mendengar penerangan dari papanya itu menyebabkan dia seperti terlupa terus tentang ketidakpuashatiannya terhadap Maria tadi. Adakah Maria akan selamat tanpa menejawab pertanyaaan dari Pasha Idham untuk selama-lamanya atau selamat untuk kali ini saja? Itu terserah semuanya pada Pasha Idham. Apa pun keputusan dari Pasha Idham, Maria harus bersiap sedia dengan jawapan.
Maria yang berada diluar kelihatan sedikit lega kerana terlepas dari menjawab pertanyaan panas Pasha Idham tadi. Sebaik keluar je dari bilik Pasha Idham, bermacam-macam soalan yang diajukan rakan-rakannya yang lain bagi mengetahui apa yang berlaku di dalam tadi.
“Macam mana Maria? Encik Pasha cakap apa?” tanya Azlan tak sabar ingin tahu.
“Macam biasalah Azlan…macam kau kena dulu jugaklah…naik panas telinga aku ni dengar leteran dia tu. Nasib baik datuk masuk, kalau tak mahu tercabut telinga aku ni.” beritahu Maria. Belum sempat dia menyambung ceritanya, tiba-tiba Pasha Idham keluar dari biliknya dengan satu arahan dan satu amaran.
“Maria, buatkan kopi untuk saya dan papa saya.” arah Pasha Idham pada Maria. Pasha Idham mendekatkan sedikit dirinya pada Maria. “Satu lagi…awak jangan ingat awak boleh terlepas pasal tadi ya? Saya akan tuntut jugak nanti jawapan dari awak…ingat tu!” kata Pasha Idham perlahan, Maria memandangnya dengan pandangan kosong. “Awak dengar tak apa yang cakap ni?” tanya Pasha Idham, bila melihat Maria yang tidak berkelip memandangnya. Nampaknya Maria memang tidak akan terlepaslah.
“Dengar Encik Pasha…”
“Kalau dengar bagus! Pergi buat kopi tu sekarang!” sekali lagi Pasha Idham mengarah, Maria terus menuju ke pantry untuk membuat kopi seperti yang disuruh bosnya itu. Kak Zura, Azlan dan Aina khusyuk memandang kearah Pasha Idham, tidak sedar yang Pasha Idham perasan dengan tindakan mereka itu walaupun bos mereka itu memandang ke arah lain.
“Yang kamu semua ni pandang saya macam tu kenapa? Saya ada buat salah dengan kamu semua ke?” tanya Pasha Idham pada staffnya. Terkejut dengan pertanyaan Pasha dham… Azlan, Aina dan Kak Zura  terus fokus dengan kerja mereka. Pasha Idham hampir tergelak tetapi cepat dikawal, malas untuk memanjangkan cerita dia terus masuk semula ke dalam biliknya.
Tidak lama kemudian Maria membawa masuk kopi ke dalam bilik bosnya itu. Tidak perlu lama di dalam, Maria terus keluar setelah menghantar kopi itu pada Pasha Idham dan Datuk Aziz. Kelihatan Pasha Idham begitu sibuk berbincang dengan Datuk Aziz sampai tidak banyak soalnya pada Maria. Biasa pantang Maria masuk pasti banyak je soalannya.
Maria menyiapkan kerjanya, yang lain pun sama juga khusyuk dengan tugasan mereka. Tidak berani untuk mereka berborak bimbang takut kejadian tadi berulang lagi. Nasib baik tadi Pasha Idham tak banyak soal, kalau tak jenuhlah mereka ingin menjawab.


WAKTU bekerja hari ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Tinggal beberapa minit lagi untuk mereka semua pulang. Maria merasa sedikit lega kerana Pasha Idham tidak memanggilnya untuk bertanyakan soalan seperti apa yang dituntut bosnya sebelum ini. Maknanya hari ni dia terlepas dari bersoal jawab dengan Pasha Idham dan dia merasa bersyukur teramat sangat, tapi hari-hari berikutnya dia tidak tahu lagi nasibnya macam mana. Maria berharap sangat yang Pasha Idham akan terlupa dengan apa yang dicakapkannya pagi tadi, kalau tak confirm memang dia akan malu kalau Pasha Idham tahu siapa bakal suami yang dimaksudkannya itu.
            Jam di mesin punch card sudah berbunyi, itu menandakan waktu bekerja hari ini sudah berakhir. Masing-masing sibuk mengemaskan barang masing-masing. Maria menjengah ke bilik Pasha Idham dari luar, hairan bila bosnya masih lagi tidak keluar.
            “Encik Pasha ni tak nak balik ke? Aku nak kunci pintu bilik dia ni…” kata Maria sendiri. Yang lain sudah beredar keluar.
            Maria memberanikan dirinya membuka pintu bilik Pasha Idham untuk bertanya pada bosnya itu. “Encik Pasha tak nak balik lagi ke? Saya dah nak balik ni.” beritahu Maria.
            “Baiklah…awak baliklah dulu.” jawab Pasha Idham dengan muka yang serius. Dia masih lagi tekun menyiapkan kerjanya walaupun dah tiba masanya untuk balik.
            “Bilik Encik Pasha ni macam mana? Encik Pasha kuncikan nanti ek?”
            “Ya…biar saya kunci nanti. Tolong jangan ganggu saya boleh tak? Awak nak balik awak baliklah dulu.” kali ni Pasha Idham bersuara sedikit geram. Geram bila Maria terusan mengacaunya yang sedang membuat kerja. Maria yang tidak mahu menghangatkan lagi keadaan terus keluar dari bilik Pasha Idham.
            “Orang tanya baik-baik pun nak marah…” rungut Maria, sambil berjalan sambil merungut. Dila yang perasan Maria seperti membebel seorang diri itu menegur kawannya itu.
            “Apa yang kau bebelkan tu mak cik?” tegur Dila ketika  Maria sudah berada di mesin punch card.
            “Bos aku tu la…”
            “Kenapa dengan bos kau? Dia tak balik lagi ke?”
            “Tak… Biasalah bos aku tu…kalau tak marah orang dalam sehari memang tak sah! Asyik nak marah je kerjanya…” rungut Maria didepan Dila. Dila tersengih mendengar rungutan temannya itu.
            “Biasalah tu…dah nasib kau dapat bos macam tu , nak buat macam mana? Kau kena terima dengan redha je la. Tapi kenapa  bos kau tak balik lagi? Biasa waktu macam ni dia dah blah dah.” kata Dila kerana setiap kali waktu balik pasti dia akan bertembung dengan Pasha Idham, tapi tidak untuk hari ini.
            “Banyak kerja kot…sebab datuk ada datang jumpa dia tadi, mungkin ada kerja baru yang perlu di siapkan kot.”
            “Mungkin jugaklah…datuk hari ni pun aku tengok busy semacam je. Tak macam selalu, sampai keluar lunch hari ni pun lewat.” beritahu Dila pada Maria. Maria mendengar sahaja apa yang dicakapkan oleh Dila itu.
            “Dahlah cerita pasal mereka, aku dah nak balik ni. Lambat gerak, lambat pulak aku sampai rumah nanti.” kata Maria yang sudah tidak sabar untuk pulang.
            “Ya lah… aku pun nak balik jugak ni. Bukan kau sorang je yang nak balik.”
            “Kalau macam tu jomlah kita gerak sekarang…”
            “Jom!”
            Mereka berdua bergerak pulang dengan menaiki kenderaan masing-masing. Maria dengan motosikalnya manakala Dila dengan kereta vivanya.


SELEPAS solat isyak Maria berkira-kira untuk menelefon Dila, tapi di matikan niatnya itu apabila Mak Munah memanggilnya.
            “Ya mak…ada apa mak?”  sahut Maria.
            “Mari sini kejap, mak nak mintak tolong sikit ni ha…” Maria keluar dari bilik dan pergi mendapatkan Mak Munahnya.
            “Mintak tolong apa mak?” tanya Maria sebaik berada disebelah emaknya.
            “Tolong mak masukkan benang ni ke dalam lubang jarum ni kejap, mata mak tak nampak la…” pinta Mak Munah.
            “La…masukkan benang ni je ke? Ingatkan apa la tadi…benda senang ni je mak…yang ni pun mak tak boleh buat ke mak?” tanya Maria dengan soalan yang saja mencari penyakit. Soalan yang diajukan semacam merendahkan kebolehan diri  Mak Munahnya. Mak Munahnya apa lagi, bila dengar je soalan macam tu terus membidaslah.
            “Apa kamu cakap? Kamu cakap baik sikit Maria oiii…aku bukan tak boleh buat Maria …tapi dah tua ni mata aku ni dah tak nampak! Kalau nampak aku tak adanya nak suruh kamu…” bebel Mak Munah pada Maria.
            “Ya lah…mak boleh buat...mak ni…orang cakap macam tu pun nak marah. Orang gurau je lah mak…”
            “Tu bukan bergurau, tu menyindir namanya…mentang-mentanglah aku ni dah tua…ikut suka kamu je nak cakap ya?” kata Mak Munah masih tidak puas hati.
            “Alaaa mak ni…janganlah macam tu. Mak ni serius sangatlah…, mana ada mak tua, mak cuma  berumur sikit je…hehehe” kata Maria sambil tersengih.
            “Malaslah aku nak melayan kamu ni Maria, kalau bercakap dengan kamu ni memang tak menang aku, asyik kamu je yang nak menang…tension aku dibuatnya.”
            “Wah mak! Dah pandai tension tension sekarang ni mak, mak belajar dengan siapa ni mak?” tanya Maria teruja. Teruja ke? Terujalah sangat Maria tu kan. Maria lebih kepada mengusik sebenarnya, sebab dia tahu pasti Mak Munahnya akan melenting punya nanti.
            “Apa? kamu ingat kamu sorang je yang pandai sebut tension tu? Mak Munah kamu ni pun pandai jugak okey! Jangan kamu tak tahu pulak!” kata Mak Munah bersungguh, siap dengan gaya sekali. Kan dah cakap, Mak Munah mesti memberi reaksi yang hebat punya. Betul tekaan Maria, memang tak salah lagi.
 Maria yang melihat gayanya Mak Munahnya itu tergelak jadinya. “Hahahhaha!!!” gelak Maria kuat sampai terlupa yang benang ditangan belum lagi dimasukkan ke dalam lubang jarum yang dipegang.
“Dah! Kamu tak payah nak gelakkan aku sangatlah…benang yang aku suruh kamu masukkan dalam jarum tu dah masuk belum? Kata terror sangat, tapi sampai sekarang masih tak siap-siap lagi.” komen Mak Munah.
            “Macam mana nak siap mak, kalau dah mak asyik buat lawak je. Kejap mak ya, dah nak masuk dah ni.” kata Maria menyuruh maknya bersabar. “Okey mak, dah siap! Nah…” hulur Maria pada Mak Munah jarum yang sudah berjaya dimasukkan benang itu. Mak Munah terus mengambilnya dari tangan Maria tanpa mengucapkan terima kasih. “Aiii mak! Takkan ambil macam tu je mak? Tak nak ucap terima kasih kat Maria ke mak? Susah Maria tolong tu mak..” kata Maria sengaja mengusik.
            “Kamu ni memang tak ikhlas tolong aku kan?”
            “Bukan tak ikhlas mak, tapi mak jugak yang cakap kat Maria…bila orang dah tolong kita, kita kenalah ucapkan terima kasih kat orang tu…tak gitu mak?” kata Maria tersenyum, dengan niat dia memang sengaja ingin mengenakan Mak Munahnya itu. Mak Munah jadi geram bila diingatkan dengan perangai kurang asam boi anaknya seorang ini. Malas memanjangkan cerita Mak Munah terus mengucapkan terima kasih pada Maria.
            “Terima kasihlah Cik Maria ya! Sebab dah susah payah tolong mak cik masukkan benang ni….” ucap Mak Munah lanjut. Maria tersengih mendengarnya.
            “Sama-sama Mak Munah sayang…jangan marah ya mak? Maria gurau-gurau je tadi tu. Lama tak bergurau dengan mak, kan mak? Bila dapat bergurau macam ni baru terasa best sikit.” luah Maria ikhlas.
            “Bestlah sebab aku yang selalu kena! Kalau kamu yang kena ada kamu kata best?” Maria ketawa kuat bila mendengar luahan Mak Munahnya itu.
            “Hahahah!!! Okey mak, lain kali Maria bagi peluang mak menang pulak ya.”
            “Banyaklah kamu punya peluang! Peluang kamu nak bantai aku lagi ada lah…” Maria lagi ketawa kuat jadinya bila mendengar komen selamba Mak Munahnya itu
            “Hahhahahhahhah!!! Mak ni buat lawaklah…sakit perut Maria ni mak ketawakan mak…”
            “Siapa suruh kamu ketawa? Aku tak suruh pun!”
            “Memanglah mak tak suruh mak, tapi ayat mak tu lawak sangatlah…Maria tak boleh tahan mak, nak ketawa jugak jadinya mak, hahahhaha”
            “Dahlah tu ketawakan aku! aku nak menjahit ni, hilang pulak konsentrasi aku bila dengar kamu ketawa ni.” rungut Mak Munah.
            “Hahahha…Okeylah mak, Maria tak nak ganggu konsentrasi mak menjahit tu mak. Maria masuk bilik dulu, Maria mintak maaf untuk yang gurau-gurau tadi ya mak…haahaha” Mak Munah hanya mencebik sebaik mendengar kata maaf dari Maria itu.
            “Entah ikhlas entah tidak mintak maaf tu. Orang kalau dah mintak maaf tak payahlah ketawa, ni tak ketawa tak ingat dunia.” kutuk Mak Munah dalam hati
 Maria masih lagi dengan sisa tawanya. Kakinya sudah melangkah menuju kebilik tidurnya, tinggal Mak Munah seorang diri bersama jarum dan benangnya ditangan.
            “Mintak maaf…tapi masih gelakkan aku…Maria…Maria…” omel Mak Munah seorang diri bila mengenangkan kenakalan anak gadisnya itu.
            Dalam bilik, Maria meneruskan niatnya yang tadinya tertangguh. Dia mencapai telefon bimbitnya diatas meja kemudian didailnya nombor Dila.
            “Assalamualaikum Dila…”
            “Waalaikumussalam…hah Maria…ada apa kau telefon aku ni?”
            “Aku telefon kau ni sebab ada hajat sikit ni…”
            “Hajat apa? pelik je bunyinya ni…”
            “Kita pergi jogging pagi esok nak?”
            “Jogging? Kau mimpi ke apa malam ni Maria? Bukan biasanya pagi-pagi kau suka membuta ke.”
            “Tu dulu…tapi sekarang tak dah…aku dah tekad dengan diri aku, mulai sekarang aku nak berubah!”
            “Betul ke ni…” tanya Dila yang masih lagi musykil.
            “Betul la…kau percayalah cakap aku…”
            “Aku takut kau jogging atas katil je esok ni…”
            “Tak…aku kata tak, tak la…macam mana? Kau nak teman aku tak?”
            “Aku okey je…tapi kau tu la…aku bimbang tak bangun je esok, nanti jenuh aku menunggu kau kan.”
            “Kau ni…aku kata tak, tak la…cuba percaya pada aku sikit boleh tak?”
            “Okey…kalau macam tu kita nak jogging kat mana esok? Pukul berapa kita nak pergi?”
           
“Kita pergi jogging kat Taman Gelora je la…biasa jogging kat situ kawan aku cakap best sebab kalau hari minggu ada orang buat senamrobik sekali.”
            “Aku tak kisah…aku ikut je…pukul berapa kita nak gerak esok ni?”
            “Pukul 6.45 aku pergi ambik kau…”
            “Nak pergi dengan motor kau ke?”
            “Ya la…habis tu dengan apa lagi? Motor ni je yang aku ada.”
            “Kita pergi dengan kereta aku je la…biar aku ambik kau esok. Aku bukan apa, bahaya pagi-pagi naik motor awal macam tu, kita ni dah la perempuan…risiko tinggi tu.” suara Dila sedikit risau.
            “Betul jugak cakap kau tu…kalau macam tu okeylah…esok kau datang ambik aku.”
            “Okey…kalau macam tu set! Pukul 6.45 pagi aku pergi ambik kau.”
            “Okey!”
            “Kita jumpa esok…Assalamualaikum…”
            “Waalaikumussalam…”




No comments:

Post a Comment