BAB 14
PASHA IDHAM masih tidak bangun dari
tidurnya. Selepas solat subuh tadi Pasha Idham tidur kembali. Rasa berat
dikepalanya menyengat-nyengat. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada
dirinya. Rasanya malam tadi okey je, tiba-tiba bangun pagi ni kepalanya terasa
berat. Suhu badannya juga terasa kepanasannya. Pasha Idham demamkah? Kalau
demam, demam sebab apa? Sebab Mariakah? Manalah tahu takut terkena saka rempit
Maria kan? Semalam pun bukan main pucat lagi muka Pasha Idham bila turun dari
motosikal Maria. Maria sendiri pun perasan dengan perubahan diwajah Pasha Idham
itu.
Datin Dian hairan bila Pasha Idham
tidak lagi turun untuk ke pejabat. Datuk Aziz pun sama, pelik bila anaknya
tidak turun bersarapan bersamanya. Biasanya sebelum pergi ke pejabat Pasha
Idham memang akan bersarapan dengannya terlebih dulu. Hari ni tak pulak, batang hidung pun tak nampak
lagi.
“Mana Pasha ni? Biasa waktu macam ni
dah turun sarapan?” tanya Datuk Aziz pada Datin Dian.
“Enggak
tahulah pa, mama pun heran juga ni.”
kata Datin Dian.
“Apa kata mama pergi tengok kat atas
tu?” suruh Datuk Aziz.
“Baiklah… mama pergi lihat Pasha sebentar
ya pa.” kata Datin Dian yang kemudiannya bangun dari tempat duduknya untuk ke bilik
anaknya.
Datin
Dian memulas tombol pintu bilik Pasha Idham perlahan. Di lihat Pasha Idham
masih lena di atas katil. Datin Dian menghampiri Pasha Idham.
“Pasha…Pasha…udah lewat ni… kamu kerja atau enggak ni?” Datin Dian mengejutkan
Pasha Idham. Tapi Pasha Idham tidak memberi apa-apa respon. Datin Dian
memanggilnya sekali lagi. “Pasha…Pasha…bangun…” kali ini digoncangkan tubuh
Pasha Idham.
“Mmmmm…” suara Pasha Idham kedengaran lemah.
Datin Dian jadi kaget.
“Kamu
ni kenapa Pasha? Kok lemah sekali
suaranya mama dengar?” tanya Datin Dian sambil tangannya menyentuh dahi Pasha
Idham. “Kamu demam ni Pasha… kita ke klinik je lah ya?” suara Datin Dian
bimbang. Pasha Idham menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan cadangan
Datin Dian. Tambah lagi dengan badannya yang tak larat untuk bangun, mustahil
dia boleh ke klinik untuk masa ni.
“Habis
tu kamu mahu biarkan badan kamu panas macam ni ya?”
“Pasha
tak laratlah ma… mama bawakan Pasha panadol je
lah ma. Nanti bila dah okey sikit Pasha pergi klinik. Ya ma?” kata Pasha Idham dengan
suara yang lemah.
“Kamu
okey ke kalau enggak pergi ke klinik
ni Pasha? Mama bimbang la…”
“Okey
ma… InsyaAllah Pasha akan okey bila makan panadol tu.” Pasha Idham cuba
meyakinkan Datin Dian.
“Kalau
macam tu baiklah…nanti mama bawakan kamu panadol. Kamu tahan sikit ya?”
“Iya
ma…”
Datin
Dian terus turun ke bawah mengambilkan panadol untuk Pasha Idham dan memaklumkan
kepada suaminya tentang keadaan Pasha Idham yang demam itu. Datuk Aziz
mengangguk faham.
“Tak
apa lah ma, mama pergilah bagi ubat tu pada Pasha. Nanti apa-apa hal mama telefon
papa. Papa nak ke pejabat dulu ni.” kata Datuk Aziz yang sudah ingin beredar ke
pejabat.
“Baiklah
pa, nanti kalau ada apa-apa mama telefon papa.” kata Datin Dian lalu menyalami
dan mencium tangan suaminya. Selepas Datuk Aziz pergi, Datin Dian terus naik ke
atas untuk memberikan panadol pada Pasha Idham.
“Pasha…
ni panadolnya… makan ya.” suruh Datin Dian sambil menghulurkan panadol dan segelas
air masak pada Pasha Idham. Pasha Idham mengambilnya dari tangan Datin Dian
kemudian ditelannya panadol itu.
“Terima
kasih ma…” ucap Pasha Idham lalu membaringkan tubuhnya semula.
“Sama-sama…Pasha
rehatlah ya. Nanti kalau nak minta apa-apa, Pasha panggil saja mama ya.” pesan
Datin Dian lembut. Pasha Idham mengangguk faham, kemudian memejamkan matanya kembali
bagi menghilangkan rasa sakit kepalanya itu.
Datin
Dian yang tidak mahu menganggu anaknya itu berehat terus keluar dari bilik
Pasha Idham bagi memberi ruang pada Pasha Idham merehatkan diri
secukup-cukupnya. Pasha Idham sudah hilang dalam lenanya.
BERITA
yang baru dimaklumkan Datuk Aziz pada Maria tentang bosnya Pasha Idham yang demam membuatkan Maria sedikit terkejut.
Ya lah… mahu tak terkejut, semalam okey je, tiba-tiba hari ni demam pulak. Bimbang juga takut ada kaitan
dengannya, sebab semalam sebaik Pasha Idham turun dari motosikalnya muka Pasha
Idham memang begitu pucat. Macam mayat pucatnya. Jadi bimbang jugaklah Maria. Tapi tak ada lah
ditunjukkan sangat rasa bimbangnya itu di depan Datuk Aziz. Takut lain pulak tafsiran Datuk Aziz kepadanya
nanti. Depan Datuk Aziz dibuat biasa-biasa saja reaksinya, tapi dalam hati hanya
Allah je yang tahu perasaanya ketika itu.
“Kenapa Encik Pasha boleh demam ya?
Salah aku ke? Kalau betul lah sebab aku, kesian kat Encik Pasha… tak
pasal-pasal je demam.” kata Maria sendiri. Terbit rasa bersalah dalam dirinya
tiba-tiba.
“Maria, Mana Encik Pasha? Dah pukul
9 ni tak sampai lagi. Encik Pasha tak masuk pejabat ke hari ni?” tanya Kak Zura
hairan. Biasa bosnya tak macam ni. Selalu awal je sampai pejabat.
“Tak…” jawab Maria ringkas.
“Kenapa?” tanya Kak Zura lagi.
“Encik
Pasha demam.”
“Demam?
Semalam okey je akak tengok.”
“Semalam
memanglah okey kak. Tapi hari ni dia demam.”
“Tiba-tiba
je demam ni… biasa kalau nak demam ada la tunjuk tanda dulu. Ni tak, terus
demam mengejut macam tu je ni. Macam pelik je…” kata Kak Zura musykil.
“Tak
tahulah kak…kuasa Allah. Kita mana nak tahu kan kak? Macam-macam boleh jadi.”
“Betul
jugak kata Maria tu. Harap-harap
cepatlah sembuh Encik Pasha tu ya?”
“Harap-harapnya
macam tu lah.”
“Tapi
kan…kalau lama sikit Encik Pasha tak masuk pejabat okey jugak. Bolehlah kita honeymoon
lebih sikit nanti.” sampuk Azlan tiba-tiba.
“Betul
kata Azlan tu.” sokong Aina.
“Ishhh! Kamu berdua ni…tak baik doa Encik
Pasha macam tu tau! Walaupun dia kurang mesra dengan kita, tapi kita tak baik
doakan keburukan untuk dia tau! Kita kena doakan kebaikan untuk dia. Doakan
supaya dia cepat sembuh.” Kak Zura memberi ceramah pada Azlan dan Aina. Maria
disitu hanya mendengar.
“Laaa…Kak Zura ni… bila masa pulak saya doa buruk-buruk pada Encik
Pashanya. Saya cakap… kalau Encik Pasha cuti lama sikit okey jugak. Bolehlah kita bebas sikit nanti
kan?”
“Samalah
tu… lebih kurang je tu. Cuma kamu berkias sikit je kan? Supaya tak nampak
terang sangat kamu doa macam tu kan?” perli Kak Zura. Azlan hanya tersengih.
Maknanya memang betul lah tu apa yang dikatakan Kak Zura padanya.
“Assalamualaikum!”
tiba-tiba ada suara memberi salam.
“Waalaikumussalam…”
jawab mereka serentak. Kemudian memandang kearah pemilik suara yang memberi
salam kepada mereka tadi.
“Encik
Esmadi…” spontan Maria menyebut nama Esmadi sebaik melihat Esmadi disitu.
“Ya
saya…” kata Esmadi sambil tersenyum. “Encik Pasha ada?” tanya Esmadi pada
Maria.
“Encik
Pasha tak ada kat office hari ni
Encik Esmadi. Encik Pasha cuti.”
“Cuti?
Kenapa?” tanya Esmadi.
“Datuk
Aziz cakap Encik Pasha demam. Sebab tu dia tak datang kerja hari ni.”
“Laaa… ya ke? Tak apa lah kalau macam tu.
Saya mintak diri dululah.” kata
Esmadi meminta diri.
“Encik
Esmadi ada apa-apa pesanan penting yang nak saya sampaikan pada Encik Pasha
ke?” tanya Maria pada Esmadi. Sebagai PA sudah menjadi tanggungjawabnya untuk
bertanya.
“Tak
ada apa-apa. Saya saja je singgah sini kejap. Ingatkan dia ada. Kalau dia tak
ada tak apa lah. Bukan rezeki saya nak jumpa dialah tu. Lain kalilah saya
datang lagi. Saya mintak diri dululah
ya semua…”
“Baiklah…”
jawab mereka semua disitu. Esmadi berlalu pergi dengan senyuman. Mereka menghantar
Esmadi juga dengan senyuman.
Setelah
Esmadi pergi, mereka semua kembali memberi fokus kepada kerja masing-masing.
Tiada lagi topik mengenai Pasha Idham dibualkan.
KEADAAN
Pasha Idham pada malam ini kelihatan lebih baik sedikit berbanding dengan siang
tadi. Walaupun masih terasa sakit kepalanya namun ianya tidaklah seteruk
sewaktu dia bangun tidur pagi tadi. Pasha Idham masih berehat di dalam biliknya.
Dia baru sahaja menerima panggilan dari sahabatnya Esmadi yang bertanya khabar
mengenai kesihatannya. Tidak berapa lama selepas siap berbual dengan sahabatnya
itu, tiba-tiba telefonnya berbunyi lagi. Tapi bunyi kali ini adalah bunyi yang
menandakan ada mesej yang masuk.
Pasha
Idham menekan butang pada telefonnya bagi melihat apakah isi kandungan yang
dikirim oleh pengirim mesej itu.
Assalamualaikum Encik Pasha…Encik Pasha
macam mana?
Demam lagi ke?
Pasha
Idham membaca mesej yang dikirimkan Maria. ‘Prihatin jugak Maria ni pada aku ya?’ detik Pasha Idham dalam hati ketika
membaca mesej pertama yang dikirimkan Maria itu. Dia kemudiannya membalas mesej
PAnya itu.
Waalaikumussalam… bolehlah…
Balas
Pasha Idham ringkas.
Tidak
perlu mengambil masa yang lama untuk menunggu mesej dari Maria, telefon Pasha
Idham berbunyi lagi, menandakan Maria telah membalas mesej yang dihantarnya
tadi.
Ooooo…
Esok macam mana, Encik Pasha datang office tak?
Sebaik membaca mesej dari Maria,
Pasha Idham terus membalas. Dia dapat rasakan yang pekerja-pekerjanya suka je
kalau dia tak ada di pejabat. Sebab tu lah Maria bertanya. Senang nak buat
persediaanlah tu! Pasha Idham merungut sendiri.
Kenapa?Kalau
saya tak datang lagi esok awak semua sukalah ya?Senanglah awak semua nak berseronok-seronok ya? Bila
dah tahu saya tak datang!
Kata
Pasha Idham dengan mesej berunsur perlian. Biar Maria faham dengan maksud yang
ingin disampaikannya itu.
Eh
bukan macam tu Encik Pasha…
Balas
Maria ringkas.
Habis
tu, kalau bukan sebab tu sebab apa?
Tanya
Pasha lagi, bagi mengetahui jawapan sebenar Maria. Eh! Laju pulak si Pasha
Idham ni membalas mesej Maria ni ya? Tadi bukan main lagi sakitnya. Ni macam
tak sakit je ni.
Tak… macam ni
Encik Pasha. Saya tanya ni bukan apa, kalau
saya dah tahu Encik Pasha tak datang…jadi tak
payahlah saya
susah-susah sediakan
kopi untuk Encik Pasha esok. Senang sikit
kerja saya. Itu
saja.
Beritahu Maria jujur. Pasha yang
membaca mesej Maria itu lain pulak
tafsirannya bila membaca ayat terakhir mesej itu ‘senang sikit kerja saya. Itu saja’. Dia menganggap yang Maria
ingin katakan padanya yang dia menyusahkan diri Maria selama ini. Itulah yang
difikirnya setelah membaca mesej dari Maria itu. Padahal bukan itu maksud Maria
sebenarnya.
Jadi awak nak
kata yang selama ni saya menyusahkan
diri
awaklah ya?Macam
tu?
Balas
Pasha Idham pula. Mesej kali berbaur geram. Maria disana pun sudah jadi geram
bila membaca mesej dari bosnya itu. Lain yang ingin disampaikan, lain pulak yang difahamnya. “Eee… geram betul lah bila ingat manusia
dugong ni! Asyik nak cari gaduh dengan aku je kerjanya. Menyesal aku mesejlah!”
rungut Maria. Dibalas kembali mesej bosnya itu. Dengan harapan agar apa yang
dimesejnya kali ini memberi kefahaman yang lebih sehingga boleh menyerap masuk ke
dalam otak bosnya itu.
Bukan…saya tak
maksudkan macam tu. Saya tak pernah rasa susah pun sebelum ni. Cuma saya tak
nak membazir je. Itu saja sebenarnya… Saya harap Encik Pasha fahamlah ya…
Balas
Maria dengan bahasa yang penuh berhemah. Pasha Idham membaca mesej itu hanya
menjuihkan bibirnya.
Alasan!!!
Balas
Pasha Idham ringkas. Maria yang membacanya jadi hangin satu badan.
“Ikut suka hati kaulah dugong nak kata apa pun!
Menyesal aku mesej kaulah! Menyesal! Menyesal! Menyesal!!!!!!!” jerit Maria
kuat. Tanpa Maria sedar, jeritan itu sebenarnya telah didengari oleh Mak
Munahnya. Apa lagi, Mak Munah memainkan peranannyalah. Macam biasa…takkan tak
kenal Mak Munah Maria kan…?
“Maria! Kamu ni dah kenapa menjerit
malam-malam buta ni? Buang tabiat dah ke? Ke meroyan!” sindir Mak Munah dalam
laungannya itu. Maria yang mendengar teguran dari Mak Munahnya itu menekup
mulut. Baru tersedar yang jeritannya itu terlalu kuat. Oleh kerana terlalu
geram dia pun tidak perasan yang dia telah melepaskan suara yang begitu tinggi. Sampai menganggu seorang lagi penghuni dalam rumahnya
itu. Maria tidak menjawab sindiran Mak Munahnya itu. Dia hanya diam. Kalau
menjawab makin panjang pulak episod
yang perlu disambung nanti kan. Jadi, Maria mengambil langkah selamat dengan
mendiamkan diri saja.
Diam itu lebih baik untuk Maria ketika itu.
Mak Munah pun tidak pula bising bila Maria tidak menjawab pertanyaannya itu.
Jadi tindakan yang Maria ambil itu kira tindakan yang bijaklah bagi menyelamatkan
dirinya ketika ini.
Pasha Idham menunggu mesejnya tadi
dibalas oleh Maria. Puas menunggu, tapi mesej dari Maria tidak juga masuk.
Pasha Idham jadi geram.
“Betul lah tu! Kalau tak mesti dia
dah balas mesej aku! Bukan konon!” Pasha Idham membuat kesimpulan sendiri bila
Maria tidak membalas mesejnya yang terakhir tadi.
Macam mana Maria nak balas mesejnya itu.
Dahlah pendek, lepas tu jawapan menyakitkan hati orang pulak tu. Memang tak lah Maria tu nak balas. Kalau kena kat orang
lain pun orang lain takkan balas rasanya. Pasha Idham… Pasha Idham… tak
habis-habis nak cari salah orang.
best lama juga tunggu baru ada n3 baru.
ReplyDelete