
BAB 15
MARIA mengambil keputusan untuk
tidak menyediakan kopi pada Pasha Idham pagi ini. Keputusan itu diambil apabila
mesej yang dihantarnya pada Pasha Idham malam tadi tidak mendapat apa-apa
jawapan dari Pasha Idham. Macam mana nak dapat jawapan kalau mesej yang
dihantar lain yang di faham oleh Pasha Idham. Kalau macam tu dah gayanyanya bukan
jawapan yang dia dapat tapi dapat gaduh ada la. Jadi lebih senang Maria ambil
keputusan sendiri. Kalau bosnya datang pun, dia buat je lah kopi tu nanti,
bukan susah pun. Tak apa lah lambat pun, asalkan tidak membazir sudah.
Pasha Idham mengambil keputusan
untuk ke pejabat hari ini bila merasakan tahap kesihatannya sudah semakin baik.
Rasa sakit dikepalanya dan rasa panas badannya sudah pun berkurangan. Tidak lagi
sesakit dan sepanas seperti semalam.
Pasha
Idham turun ke bawah lengkap dengan pakaian kerjanya. Datin Dian yang melihat anaknya
yang sudah pulih seperti biasa merasa sedikit lega. Bimbang juga kalau demam
Pasha Idham tu melarat, maklumlah Pasha Idham tu lah satu-satunya anak lelaki
yang dia ada. Kalau Pasha Idham sakit memang susahlah hatinya. Tapi
Alhamdulillah, Pasha Idham sihat seperti sediakala. Datin Dian juga hairan bila
melihat anaknya yang demam secara tiba-tiba begitu. Demam Pasha Idham ni demam
macam tengok hantu je gayanya, demam terkejut. Tapi bila Datin Dian bertanya
pada anaknya tak ada pulak Pasha Idham kata dia ternampak hantu. Datin Dian pun
tak tahulah apa sebab anaknya jadi begitu, sebelum ni tak ada pulak dia demam mengejut macam tu. Tapi
nasib baiklah sehari je demamnya, kalau berhari-hari gelisah juga dia
dibuatnya.
“Macam
mana Pasha kamu hari ni? Dah okey ke?” tanya Datin Dian ketika anaknya itu
bersarapan bersamanya.
“Alhamdulillah...
okey je ma.”
“Baguslah
tu…nasiblah tak melarat demam kamu tu ya? Kalau tak susah jugak papa kalau kamu tak ada.” giliran Datuk Aziz pula berbicara.
“Tu
lah pa… nasib baik tak melarat. Kalau tak makin banyaklah kerja yang Pasha nak
kena buat.” kata Pasha Idham membalas jawapan yang diberikan papanya itu. Datin
Dian hanya diam bila dua beranak ni berborak pasal kerja. Tak ada benda lain
yang nak diingatkan, sakit-sakit pun masih nak ingat pasal kerja lagi.
Pasha
Idham yang sudah selesai makan meminta diri untuk ke pejabat. Datuk Aziz pun
sama, juga sudah beransur-ansur untuk ke pejabat. Datin Dian menghantar mereka
berdua hingga ke pintu. Seperti biasa, Datin Dian akan menyalami dan mencium
tangan Datuk Aziz sebelum suaminya itu pergi ke tempat kerja. Pasha Idham pun
sama akan menyalami dan mencium tangan mamanya sebelum dia ke tempat kerja.
Itulah yang akan dilakukan Pasha Idham setiap hari sebelum dia ke tempat kerja.
Selesai bersalaman dengan mamanya barulah Pasha Idham akan ke tempat kerjanya.
Kalau tak dia akan rasa macam ada sesuatu yang tak sempurna je bila ke tempat
kerja kalau tidak bersalaman dengan mamanya.
Pasha
Idham memang anak yang baik, baik dengan keluarganya. Tapi kalau dengan
pekerja-pekerjanya macam apa je perangainya. Bila nak berubah pun tak tahulah
Pasha Idham ni.
KAK
ZURA, Azlan dan Aina yang melihat Pasha Idham yang baru melangkah masuk ke
dalam pejabat sedikit terkejut. Mati-mati mereka ingatkan bos mereka itu tidak
masuk pejabat hari ni. Baru ingat nak berseronok-seronok lama sikit, tapi tak
sempat nak berseronok singa dah masuk office
da…! Hari ni Azlan memberanikan diri untuk bertanya khabar bosnya itu.
“Selamat pagi Encik Pasha… Encik sihat
ke?” tanya Azlan ringkas.
“Kamu tengok saya sakit ke?” perli
Pasha Idham pada Azlan. Azlan tersenyum kelat. Tak saja je kena tembak pagi ni.
“Sihat Encik Pasha…” jawab Azlan
lambat-lambat.
“Habis
tu? Nak tanya lagi!” sindir Pasha Idham lagi. Kak Zura dan Aina hanya diam.
Azlan
pun sama diam, tapi dalam hati memang dia mengutuk habis. “Cesss! Kurang asam punya bos! Orang tanya khabar dia pun nak
sombong! Menyesal betul aku tanyalah! Baik tanya babun kat dalam hutan tu lagi
baguslah! Dari tanya orang bodoh sombong macam ni. Tak faham aku! Sombong tak
bertempat!” Azlan melepaskan geramnya.
Mata
Pasha Idham seperti mencari seseorang. Ya Maria! Mana Maria? Tidak kelihatan
Maria bersama tiga orang pekerjanya itu. Pasha Idham mengambil keputusan untuk
bertanya pada Kak Zura.
“Zura!”
panggil Pasha Idham tiba-tiba. Kak Zura yang sedang fokus dengan kerjanya sedikit
terkejut lalu memandang wajah Pasha Idham.
“Ya
Encik Pasha.”
“Maria
mana Maria? Dia datang kerja ke tak hari ni?” tanya Pasha Idham.
“Datang
Encik Pasha.”
“Kalau
datang mana dianya? Saya tak nampak pun batang hidung dia kat sini?”
“Maria
pergi tandas Encik Pasha. Tunai hajat.” jawab Kak Zura. Sempat lagi melawak
dalam kata-katanya.
“Suruh
dia masuk bilik saya bila dia dah selesai tunai hajat tu. Jangan tak bagitahu pulak!” pesan Pasha Idham.
“Baik
Encik Pasha.” jawab kak Zura tanda faham.
Pasha Idham terus masuk ke dalam biliknya.
Sebaik
Pasha Idham masuk ke dalam, terdengar suara tidak puas hati Azlan terhadap
perangai Pasha Idham yang diluahkan pada Kak Zura dan Aina. Tapi dalam nada
yang perlahan. Takut kalau kuat-kuat nanti, dengar di bosnya itu lagi parah dia
kena. Jadi langkah selamat cakap perlahan-perlahan sudah.
“Aku
geram betul lah dengar Encik Pasha tu. Mahu je aku lastik-lastik mulut dia tu.
Buat sakit hati aku je.” luah Azlan.
“Sabarlah
Azlan. Kau dah tahu perangai bos kita macam mana kan? Yang kau gatal mulut
pergi tanya tu kenapa?” kata Aina.
“Manalah
aku tahu dia nak jawab macam tu. Lagipun aku just tanya khabar je, nak tunjuklah jugak sikap prihatin pada bos kan? Sekali dia jawab macam tu. Kalau
aku tahu dia nak jawab macam tu, sumpah aku tak tanya!” kata Azlan sambil
mengangkat tangannya tanda bersumpah.
“Nak
buat macam mana, benda dah nak jadi. Lain kali kena beringatlah sebelum nak tanya
tu ya.” kata Kak Zura pula.
Maria
yang baru keluar dari tandas hairan bila melihat kawan-kawannya itu diam. Tadi
bukan main riuh lagi sebelum dia masuk tandas, tapi sekarang senyap macam singa
dalam office ni dah muncul kembali
je.
“Kenapa
senyap je ni? Tadi bukan main riuh lagi?” kata Maria sebaik muncul dihadapan
kawan-kawannya. Kak Zura, Azlan dan Aina masing-masing meletakkan jari telunjuk
di bibir masing-masing tanda menyuruh Maria diam.
Maria
jadi hairan lalu dia bertanya dalam nada yang sedkit perlahan. “Kenapa?” tanya
Maria. Masing-masing menunjukkan kearah bilik Pasha Idham. Maria menekup
mulutnya lalu bertanya. “Encik Pasha dah datang kerja ke?” tanya Maria pada Kak
Zura.
“Ya…dia
ada kat dalam tu. Dia pesan suruh kamu masuk dalam bilik dia lepas kamu siap
tunai hajat.”
“Hah?!”
“Tak
payah nak ‘hah hah’ kat sinilah. Baik kamu masuk cepat! Nanti lambat masuk lain pulak jadinya kan.” kata Kak Zura cuba
mengingatkan Maria. Maria yang baru keluar dari tandas itu terus masuk ke dalam
bilik Pasha Idham sebaik menerima pesanan dari Kak Zura.
“Masuk!”
laung Pasha Idham dari dalam sebaik mendengar ketukan pada pintu biliknya.
Maria masuk sebaik menerima arahan dari
bosnya.
“Hah kamu Maria! Mari duduk sini!” arah
Pasha Idham menyuruh Maria duduk di depannya.
“Ada
apa Encik Pasha panggil saya ya?” tanya Maria dengan penuh sopan.
“Kopi
saya mana?” tanya Pasha Idham yang sengaja mencari kesalahan Maria.
“Saya
belum buat lagi. Saya ingatkan Encik Pasha tak masuk pejabat hari ni.”
“Saya
ada cakap saya tak masuk office ke
hari ni?”
“Tak
ada…”
“Habis
tu?”
“Tak
ada lah…saya takut membazir je. Sebab saya mesej tanya Encik Pasha malam tadi
Encik Pasha tak jawab pun. Jadi saya anggap Encik Pasha tak datanglah hari ni.”
“Oh!
senangnya… pandai-pandai je awak buat kesimpulan sendiri ya?” bebel Pasha
Idham. Maria hanya diam. “Sebut pasal mesej malam tadi ni… kenapa awak tak reply mesej terakhir saya malam tadi?”
tanya Pasha Idham lagi.
“Saya
tertidur Encik Pasha.” jawab Maria berbohong. Kalau dia berterus terang sebab kenapa
dia tak balas mesej Pasha Idham tu, mahu mengamuklah bosnya itu nanti. Bukan
dia tak tahu perangai Pasha Idham tu macam mana.
“Boleh
pulak awak tidur ya?”
“Nak
buat macam mana Encik Pasha. Dah mengantuk sangat, saya tidurlah.” jawab Maria tak
berapa nak jujur. Pasha Idham hanya memandang ke wajah Maria.
“Habis
kopi saya macam mana?” tanya Pasha Idham bila sudah tiada soalan yang ingin
dibangkitkan.
“Macam
mana, macam mana? Saya pergi buat sekarang je lah Encik Pasha.” jawab Maria
selamba.
“Kalau
macam tu awak pergi buat cepat!” arah Pasha Idham.
“Okey…”
jawab Maria, masih dalam nada yang selamba. Maria terus bengun untuk keluar
membuatkan kopi untuk bosnya. Belum sempat Maria memulas tombol pintu bilik
bosnya itu, tiba-tiba bosnya memanggil.
“Maria!”
“Ada
apa lagi Encik Pasha!” tanya Maria.
“Pastikan
awak basuh tangan awak tu bersih-bersih sikit sebelum buat kopi saya! Saya
takut ada perisa tambahan lain pulak
nanti dalam kopi saya tu.” sindir Pasha Idham.
Maria
tidak faham apa yang dimasudkan bosnya. Sebelum ni tak ada pulak bosnya berpesan begitu. “Kenapa Encik Pasha cakap macam tu?”
tanya Maria ingin tahu.
“Tak
ada lah…awak kan baru lepas keluar dari tandas. Saya takutlah ada lagi saki
baki yang melekat kat tangan awak tu. Nanti tak pasal-pasal pulak saya masuk hospital sebab terkena
keracunan minuman yang awak buat tu. Saya tak naklah macam tu.” kata Pasha
Idham lepas.
Sebaik
mendengar kata-kata Pasha Idham itu,
wajah Maria berubah jadi geram. Memang jelas rasa geramnya itu terpancar
diwajah. Sampai Pasha Idham pun perasakannya.
‘Eeee…geramnya aku…! Aku hempuk-hempuk jugak dugong ni kan!’ bentak Maria dalam hati. Pasha Idham hanya
tersenyum bila melihat perubahan yang begitu jelas diwajah Maria itu. Dia tahu
yang Maria geram padanya.
“Yang
awak tercegat lagi kat situ tu kenapa? Pergilah buat kopi untuk saya cepat!”
suruh Pasha Idham. Maria yang masih lagi merasa geram hanya menahan sabar. Dia
sudah berpusing untuk keluar dari bilik Pasha Idham. Tapi belum sempat dia
melangkah keluar, pesanan seperti tadi
singgah lagi ditelinganya. “Jangan lupa basuh tangan tu Maria!” pesan
Pasha Idham sekali lagi, sengaja ingin menghangatkan perasaan Maria.
Maria
tidak melayan, apa yang mampu dia buat sekarang ni hanyalah beristighfar dalam
hati. ‘Astaghfirullahalazim….sabar Maria… sabar.’ Maria cuba menenangkan
dirinya. Lalu Maria terus keluar dari bilik bosnya tanpa berkata apa-apa.
Pasha
Idham di dalam ketawa kuat sebaik Maria keluar dari biliknya.
“Hahahahahah!!! Maria…Maria…puas hati
aku! Main-main lagi dengan aku ya! Sekarang rasakan!” kata Pasha Idham sendiri.
Puas hatinya bila dapat mengenakan Maria.
Maria
di pantry menghentak-hentakkan
kakinya tanda melepaskan geram pada Pasha Idham.
“Kurang
asam punya bos! Tak apa… tak apa, kali ni giliran kau! Tiba giliran aku nanti
siaplah kau!” kata Maria geram. Tiba-tiba Maria terpandangkan bekas plastik
disudut hujung sebelah kanannya. Diambil bekas itu dan dilihat isinya. Isinya
seperti gula tapi tulisan diluar bekas plastik itu tak sama apa yang
difikirkannya.
“Garam?
Sejak bila pulak kat pantry ni ada garam? Macam mana aku
boleh tak sedar ni.” kata Maria sendiri. Tiba-tiba Maria tersenyum. “Haa…bagus jugak kau ada garam…senang sikit kerja aku!” kata Maria seperti
mendapat satu idea jahat mengenakan bosnya itu dengan menggunakan garam itu.
Maria
membawa keluar kopi yang diletakkan garam tadi masuk ke dalam bilik Pasha Idham.
Penuh dengan senyuman Maria membawa kopi itu masuk ke dalam bilik bosnya. Pasha
Idham yang melihat perubahan drastik Maria
itu sedikit hairan.
‘Ai! tadi bukan main lagi marahnya aku
tengok. Ni boleh tersenyum pulak
bawak kopi untuk aku! Cepat betul reda rasa marah minah ni ya?’ kata Pasha
Idham dalam hati. Maria masih memaniskan senyumannya dihadapan Pasha Idham.
“Enjoy your drink Encik Pasha.” kata
Maria pada Pasha Idham sambil tersenyum. Maria terus keluar selepas meletakkan
cawan kopi disebelah kanan Pasha Idham. Pasha Idham memandang hairan langkah
Maria.
Maria
yang berada di mejanya sudah mengekek ketawa. Hanya menunggu masa dugong tu
menyalak je dalam biliknya.
“Dugong
boleh menyalak ke? Ahhh… tak kisahlah
boleh menyalak ke tak. Janji aku puas.” omel Maria sendiri.
Rakan-rakannya yang lain hanya memandang Maria
dengan rasa hairan. Tidak tahu apa yang menggeletek hati Maria sampai dia
ketawa mengekek begitu. Kali ini Maria sudah tidak kira, apa yang akan terjadi
lepas ni, lantaklah. Janji dia dapat mengajar bosnya yang kurang asam itu. Makin
dibiar makin menjadi-jadi nampaknya. Jadi peluang yang ada ni telah digunakan
sebaik mungkin. Harap-harap menjadilah apa yang dimahukannya itu.
Tidak
berapa lama kemudian terdengar suara lantang Pasha Idham dari dalam bagaikan
petir menyebut namanya.
“Maria!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
Kak
Zura, Azlan dan Aina yang tersentak dengan suara petir Pasha Idham itu terus memandang
kearah Maria. Maria hanya menjungkitkan bahu tanda tidak tahu apa-apa.
WALAUPUN
hari sudah malam, rasa geli hati Maria masih lagi ada bila mengingatkan
peristiwa dia mengenakan Pasha Idham siang tadi. Memang mengamuk habis Pasha
Idham siang tadi bila tahu air kopinya diisi garam. Nasib baik dia tak kena
pecat je. Kalau tak memang meranalah telinga kau Maria terima ceramah dari Mak
Munah kau. Maria…Maria…memang cari penyakitlah kau ni! Hahahaha…
“Kenapa kopi saya ni masin?! Awak
saja pedajal saya ya!” tanya Pasha
Idham dalam nada marah bila kopi yang diminumnya itu terasa masin.
“Hah?!
masin?” Maria pura-pura terkejut.
“Ya lah! Masin! Awak sengaja nak
balas dendam pada saya kan?” tuduh Pasha Idham.
“Eh!
Mana ada Encik Pasha. Tak baik Encik Pasha cakap macam tu. Saya tak buat macam
tu pun tau!” kata Maria buat-buat muka kesian.
“Habis tu! Kenapa kopi saya ni masin?!”
“Mana saya tahu Encik Pasha, tadi
saya rasa okey je. Memang manis kopi yang saya buat untuk Encik Pasha tu tadi.”
kata Maria bohong.
“Awak rasa kopi saya?”
“Ya lah… kalau tak sedap nanti Encik
Pasha marah saya pulak.”
“Ooo…
awak dah minum baru awak bagi pada ya? Jadi selama ni saya minum bekas awaklah
ya?” isu lain pula dibangkitkan Pasha Idham.
“Mana ada macam tu Encik Pasha. Mana
ada saya minum! Saya rasa je. Tu pun saya rasa guna sudu. Lepas rasa tu saya
basuh balik sudu tu tau!”
“Saya boleh percaya ke kata-kata
awak ni? Nampak muka macam bohong je.” kata Pasha Idham. Sempat lagi dia
mengutuk Maria.
“Terpulang pada Encik Pasha lah… saya
tak boleh nak paksa Encik Pasha percaya pada saya.” kata Maria berserah.
“Tapi saya hairan… kalau awak dah
rasa manis, macam mana kopi ni boleh bertukar jadi masin pulak? Macam tak logik je…” kata Pasha Idham musykil. Maria
tersenyum.
“Entah-entah sebab perisa tambahan
ni kot Encik Pasha….” kata Maria sambil menunjukkan dan memainkan jari-jemarinya
seperti ahli silap mata. Pasha Idham yang melihat Maria memainkan jari
jemarinya membulatkan matanya. Di sapu-sapu mulutnya dan di ludah-ludah kecil
air liur dalam mulutnya bagi menghilangkan sisa kopi yang diminumnya tadi.
Maria yang melihat gelagat kelakar bosnya itu terlepas juga ketawanya.
“Maria!!! Awak ni!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
marah Pasha Idham.
Maria
ketawa terbahak-bahak bila mengingatkan peristiwa yang berlaku siang tadi pada
bosnya itu. Akhirnya berjaya juga dia mengenakan bosnya yang sombong tak
bertempat itu. Puas rasa hatinya.
“Kau nak main-main lagi dengan aku
ya? Sekarang rasakan…” kata Maria yang masih lagi dengan ketawanya.
“Maria!!! Kamu ni kenapa ketawa sorang-sorang malam-malam ni? Meroyan
lagi ke? Bimbanglah aku tengok kamu ni! Makin lama makin menjadi penyakit sasau
kamu ni! Kamu ni okey ke tak?” bebel Mak Munah yang tiba-tiba muncul di muka
pintu bilik Maria.
“Eh mak ni…okeylah…ada pulak tanya Maria okey ke tak. Maria tak
gila lagilah mak.” kata Maria yang faham dengan apa yang dimaksudkan Mak
Munahnya itu.
“Kalau okey kenapa kamu ketawa sorang-sorang? Dahlah malam semalam
menjerit-jerit macam orang tak betul. Macam mana aku tak bimbang. Kamu jangan
Maria…” kata Mak Munah tanpa menghabiskan kata-katanya.
“Eh
mak ni ke situ pulak… mak jangan
bimbanglah. Anak mak waras lagi okey! Cuma ada perkara lucu sikit yang berlaku
kat pejabat tadi. Tu yang Maria ketawa tu.”
“Kamu ni macam-macamlah Maria…
Dahlah, mak tidur dulu. Kamu tu jangan nak ketawa kuat-kuat sangat. Nanti
jiran-jiran dengar apa pulak yang
mereka fikir. Aku yang kat dalam rumah ni pun dah boleh fikir macam-macam, orang yang kat luar tu lagilah. Tidur awal
sikit! Jangan nak tidur lewat-lewat sangat!” pesan Mak Munah.
“Baik mak…nanti Maria tidur ya… mak
pergilah masuk tidur dulu mak. Katil mak dah lama tunggu mak tu. Nanti merajuk pulak katil mak tu kan. ” usik Maria.
“Banyaklah kamu punya merajuk.
Dahlah mak masuk tidur dulu.”
“Baik mak…mimpi yang indah-indah ya
mak?” usik Maria lagi. Mak Munah terus menuju ke biliknya. Malas untuk melayan
perangai tak betul anaknya itu.
Sebaik Mak Munah pergi, Maria menyambung
kembali senyumnya yang terbantut tadi.
“Encik Pasha… Encik Pasha…” Maria
menyebut nama Pasha Idham
Sebelum
Maria tidur, seperti biasa dia akan mencium gambar Pashanya yang terletak
cantik didalam frame disisi meja
katilnya itu. Maria kemudian bangun menutup suis lampu biliknya dan kemudian
kembali ke katil untuk mengambil posisi yang selesa seselesanya bagi meraikan kemenangannya mengenakan Pasha Idham hari
ini. Malam ini Maria tidur dalam senyuman. Senyuman yang hanya dia saja boleh
faham. Oh! Maria…